Monday, April 21, 2025
24.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk gaya hidup kewangan sihat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Jerayawara Kesedaran Kewangan sempena Hari Menabung Kebangsaan 2019 diteruskan lagi hari ini di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

    Jerayawara pada tahun ini menyasarkan institusi pengajian tinggi, menurut Pengurus Isu Pengguna Kewangan, Autoriti Monetari Brunei Draussalam (AMBD), Awangku Muhammad Fadhli bin Pengiran Sulaiman semasa temu bual media di jerayawara di UBD.

    Hadir selaku tetamu kehormat di jerayawara itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman dan Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong yang juga penghulu Mukim Tanjong Maya Zon I di Daerah Tutong.

    Turut hadir ialah Penolong Naib Canselor UBD (Korporat dan Pentadbiran), Hajah Rubiah binti Haji Yacub serta pegawai-pegawai kanan dari AMBD, TAP, dan UBD.

    Beliau seterusnya menjelaskan jerayawara kesedaran kewangan ini pada tahun ini bermula di Universiti Islam Sultan Sharif Ali seterusnya Laksamana College of Business, Kolej International Graduate Studies (IGS), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan UBD.

    Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty dan Yang Berhormat Haji Abdul Wahab menyaksikan pameran di jerayawara itu.

    Antara lain tujuan jerayawara ini adalah untuk melengkapkan mahasiswa-mahasiswa universiti dengan kemahiran pengurusan kewangan sebelum beralih ke alam pekerjaan sambil memupuk gaya hidup kewangan yang sihat.

    “Selain ia juga merupakan salah satu daripada inisiatif AMBD untuk membangunkan generasi yang celik kewangan serta untuk merealisasikan matlamat Wawasan 2035 dalam mencapai ekonomi yang dinamik dan mampan serta penduduk yang berkemahiran tinggi”, jelasnya.

    Jerayawara yang dihadiri lebih 550 penuntut dari beberapa universiti serta institut pengajian tinggi tempatan telah menyertai aktiviti-aktiviti interaktif yang memberi pengenalan kepada konsep-konsep pengurusan kewangan yang antara lainnya termasuk menabung, pelaburan, takaful dan insurans dan perancangan persaraan.

    Aktiviti-aktiviti ini telah dikendalikan oleh AMBD, Tabung Amanah Pekerja (TAP), Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM), Persatuan Perancang Kewangan Brunei Darussalam (FPAB) dan Junior Achievement (JA) Brunei serta institusi-institusi kewangan yang ikut serta.

    Jerayawara ini dianjurkan oleh AMBD dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Kementerian Pendidikan, JA Brunei dan beberapa institusi kewangan yang lain.

    Acara kemuncak Hari Menabung Kebangsaan 2019 ditutup dengan Financial Fun Fair yang akan diadakan pada 17 dan 18 Ogos ini di Jerudong Park Colonnade di mana pelbagai dan aktiviti untuk seisi keluarga akan diadakan semasa acara itu nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda