Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk gaya hidup sihat dalam komuniti kampus

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Sebagai sebahagian daripada komitmen untuk memupuk gaya hidup sihat dan seimbang dalam kalangan komuniti kampus dan masyarakat umum, Universiti Brunei Darussalam (UBD) akan menganjurkan Minggu Sihat UBD 2025 bermula pada 21 hingga 25 September di Ruang Legar CLT dan Ruang Pembelajaran Perpustakaan, Perpustakaan UBD.

    Dengan tema Kesedaran Kesihatan untuk Kehidupan Universiti: Ambil Tanggungjawab, Hidup Sihat, inisiatif itu dianjurkan bersama oleh UniHEALTH: Centre for University Life & Wellness and Campus Asset Management & Planning for University Life (CAMPUs).

    Program itu antara lain bertujuan menekankan kepentingan para pelajar dan kakitangan mengambil tanggungjawab terhadap kesihatan, memandangkan kesejahteraan amat berkait rapat dengan prestasi akademik, produktiviti dan kualiti hidup.

    Sehubungan itu, majlis pe-rasmian minggu berkenaan akan diadakan pada 21 September yang dijangka disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif, bersama Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    Pelbagai aktiviti akan diadakan sepanjang acara lima hari itu, termasuk saringan kesihatan percuma untuk pengesanan awal dan kesedaran, pameran dan gerai maklumat mengenai gaya hidup sihat.

    Selain itu, sesi ceramah, bengkel kesihatan mental yang disesuaikan dengan kehidupan universiti, aktiviti kecergasan berkumpulan dan pertandingan berkaitan kesihatan yang melibatkan pelajar dan kakitangan juga akan diadakan.

    Para pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan oleh pelajar UBD termasuk persembahan gulintangan dan nyanyian, manakala peniaga tempatan akan menyediakan pilihan makanan dan minuman sepanjang acara berlangsung.

    Minggu Sihat UBD dianjurkan untuk meningkatkan kesedaran mengenai cabaran kesihatan umum seperti tekanan, kurang tidur dan tabiat pemakanan yang tidak sihat sementara membekalkan peserta dengan pengetahuan dan strategi praktikal untuk kesejahteraan jangka panjang.

    Ia juga berfungsi sebagai platform untuk menggalakkan tindakan awal dan penjagaan kendiri, agar warga UBD boleh menjadi teladan dalam mengamalkan gaya hidup sihat dalam masyarakat yang lebih luas.

    Gambar Pexel
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda