Tuesday, May 6, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk gaya hidup sihat pekerja

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 22 DIS – Untuk membantu mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan kakitangannya, Brudesh Engineering and Management Sdn Bhd telah mengadakan Program Gaya Hidup Sihat di Taman Rekreasi Anduki, Seria, baru-baru ini.

    Seramai 56 orang yang terdiri daripada kakitangan dan pengurusan syarikat hadir memeriahkan aktiviti tersebut.

    Di samping mempromosikan gaya hidup sihat, acara berkenaan juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan membina semangat kerja berpasukan dalam kalangan kakitangan melalui pelbagai aktiviti yang diadakan.

    Pengarah Urusan, Hajah Sapurahbee binti Haji Ibrahim dalam ucapan alu-aluannya menekankan pentingnya gaya hidup sihat dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

    Beliau juga menyatakan bahawa mengamalkan gaya hidup sihat mampu mencegah penyakit kronik dan penyakit jangka masa panjang.

    Hajah Sapurahbee mengetuai salah satu aktiviti yang diadakan semasa acara itu. – Gambar serahan Brudesh Engineering and Management

    Turut hadir semasa program tersebut ialah Pengarah Perhubungan Manusia, Syarifah Safinatul Najah binti Malai Haji Abdul Hamid dan Pengarah Operasi merangkap Pengurus Kontrak, Malai ‘Izzat Faris bin Malai Haji Abdul Hamid yang turut sama-sama menyertai sesi aerobik bersama Hajah Sapurahbee bagi memulakan pelbagai aktiviti yang disediakan.

    Aktiviti-aktiviti lain yang diadakan termasuk beberapa aktiviti dan permainan yang memfokuskan daya tahan fizikal, mental, dan rohani para peserta untuk membantu membangun kerja dalam berpasukan.

    Bagi memeriahkan lagi acara itu, cabutan bertuah juga diadakan di mana kakitangan bertuah menerima hadiah menarik daripada pihak pengurusan syarikat di mana hadiah juga diberikan kepada pemenang permainan dan aktiviti yang diadakan.

    Di samping itu, syarikat berkenaan juga mengambil kesempatan untuk menghargai pencapaian kakitangan mereka dengan penyampaian anugerah-anugerah pekerja terbaik.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda