Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk hubungan Malaysia dengan negara-negara ASEAN

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Dengan matlamat untuk memupuk hubungan dua hala yang lebih erat antara Malaysia dan negara-negara ASEAN, sembilan orang duta dan pesuruhjaya tinggi dari negara-negara anggota ASEAN dihoskan pada majlis minum petang eksklusif oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia, Puan Yang Terutama Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri pada 6 Julai lalu.

    Dalam kenyataannya, Tourism Malaysia menyatakan bahawa majlis itu dihadiri oleh pesuruhjaya tinggi dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura serta duta-duta dari Kemboja, Republik Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Republik Kesatuan Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.

    Majlis itu juga dihasratkan untuk menghubungkan semula setelah dua tahun mengharungi pandemik COVID-19. Ia turut memberikan peluang bagi memperkenalkan retreat tiga hari dua malam bagi semua duta dan pesuruhjaya tinggi untuk meneroka Negeri Pahang yang dijadualkan pada Ogos 2022.

    Pada Forum Pelancongan ASEAN (AFT) yang diadakan di Kemboja pada Januari lalu, Kenyataan Media Bersama Mesyuarat Menteri-menteri Pelancongan ASEAN ke-25 menyatakan hala tuju ke hadapan bagi rantau berkenaan pulih menerusi pelaksanaan Pelan Pemulihan Pasca COVID-19 bagi Organisasi Pelancongan Kebangsaan (NTO) ASEAN yang telah disokong pada September 2021.

    Semasa majlis itu, PYT Dato’ Sri Nancy berkata bergerak ke hadapan, beliau yakin mereka dapat bekerjasama untuk mengukuhkan kolaborasi dalam pemasaran dan promosi tawaran pelancongan serantau.

    Ia adalah selaras dengan penjenamaan baharu ASEAN, ‘Sebuah Destinasi bagi Semua Impian’, di mana mereka akan terus memasarkan Asia Tenggara sebagai sebuah destinasi tunggal, ulasnya lagi.

    Negara-negara ASEAN merupakan penyumbang utama kepada ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia di mana pada 2019, jumlah keseluruhan ketibaan dari rantau ASEAN ialah 17,880,151, iaitu 68.5 peratus bahagian keseluruhan ketibaan 26,100,784 pelancong. Walaupun sempadan ditutup pada 2020 dan 2021, mereka yang membuat perjalanan mustahak ke dalam Malaysia masih menyumbang kira-kira 68 peratus jumlah keseluruhan ketibaan pelancong iaitu seramai 2,949,363 pada 2020 dan 91,665 pada 2021.

    PYT Dato’ Sri Hajah Nancy ketika menghoskan majlis minum petang bagi pesuruhjaya tinggi dan duta negara ASEAN pada 6 Julai lalu. – Gambar serahan Tourism Malaysia
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda