Ahad, 23 November 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk kaedah bimbingan pengajaran

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Kira-kira 400 orang menyertai Seminar Pakar Pendidikan ke-4, 2024 dengan tema Contemporary Specialisation in Educational Practices towards Education Excellence yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini.

    Seminar anjuran Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD) itu turut membawa sub-tema Effective Instructional Coaching towards Education Excellence.

    Para peserta terdiri daripada pemimpin sekolah, pakar pendidikan, calon pakar pendidikan, pembimbing di sekolah-sekolah kerajaan di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, pensyarah-pensyarah Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (SHBIE), UBD serta pegawai-pegawai dari jabatan di bawah Kementerian Pendidikan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian seminar ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Dayang Masdiah binti Haji Tuah selaku Pengerusi Jawatankuasa Seminar Pakar Pendidikan ke-4 menyatakan bahawa matlamat seminar berkenaan adalah untuk memupuk kaedah bimbingan pengajaran dalam meningkatkan amalan pengajaran yang boleh menangani kepelbagaian keperluan pelajar di dalam kelas.

    Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Dayang Masdiah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah hadir selaku tetamu kehormat semasa majlis pembukaan seminar berkenaan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Para jemputan yang menghadiri ke majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Selain itu juga bagi menanai kemahiran dan kecekapan yang penting untuk bimbingan efektif, yang mewujudkan perubahan transformasi holistik dalam kalangan pendidik serta mengukuhkan amalan pendidikan yang berdasarkan penyelidikan dan data bagi perbualan bimbingan yang berkesan.

    Beliau turut menyatakan bahawa seminar itu bermatlamat untuk meneroka peralatan dan sumber yang praktikal dengan menumpukan kepada pemanfaatan teknologi bagi meningkatkan kaedah bimbingan, menangani cabaran dan permasalahan serta memperkasa pemimpin untuk menyepadukan kaedah bimbingan secara strategik dan mewujudkan budaya bimbingan yang mampan di sekolah-sekolah.

    Majlis seterusnya menyaksikan pembentangan ucaptama bertajuk What is Teaching Excellence? How can Coaching Help Achieve This? yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr Ng Pak Tee dari Policy, Curriculum and Leadership Academic Group, National Institute of Education (NIE), Republik Singapura di mana beliau menyentuh mengenai kecemerlangan pengajaran dan kecemerlangan pendidikan, bimbingan dan pembangunan profesional serta bimbingan dan kepimpinan.

    Majlis kemudian diteruskan dengan sesi Bulatan Pembelajaran oleh penyampai utama yang dimudah cara oleh Calon Pakar Bimbingan, Jabatan Sekolah-sekolah, Dayang Nurul Hazirah Aleyana binti Haji Mohd Zain.

    Sementara itu, pada sebelah petang, majlis diteruskan dengan sesi bengkel Masterclass yang dimudah cara oleh penyampai ucaptama bertajuk Collaborative Stategies to Embed and Sustain Coaching Practices in School.

    Majlis juga diisikan dengan sesi bengkel dan pleno secara selari dengan bengkel Roundtable Validation of 360 Diagnostic Tool dikendalikan oleh pegawai-pegawai dari Jabatan Pengurusan Pendidik, Hajah Rosinah binti Haji Sabli dan Dr Siti Noor Naasirah binti Abdullah Teo bagi calon pakar pendidikan.

    Sesi pleno bersama pemimpin sekolah pula telah disampaikan oleh Dayang Limawati binti Galawat, Sia Ai Chin dan Dayang Saliha binti Haji Tinggal.

    Seminar akan bersambung esok dengan empat tajuk bengkel disampaikan secara selari oleh Calon Pakar Pendidikan dan bengkel Enhancing Coaching Conversations with Neuro Linguistic Programming (NLP) and Emotional Intelligence (EI) yang disampaikan oleh Ketua Unit Kepakaran, Akademi Kepimpinan dan Guru Brunei Darussalam (BDLTA), Chong Yun Onn kepada peserta-peserta seminar.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda