Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Kejohanan Bola Keranjang Wanita Propel akan diadakan bermula 9 September, umum penganjur kejohanan Propel Services & Trading Sdn Bhd dan Persatuan Bola Keranjang Brunei (BBA) semalam.
Kejohanan yang julung kali diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad di Gelanggang BBA, Batu Bersurat itu bertujuan memupuk kecemerlangan bola keranjang wanita dan menggalakkan penyertaan wanita dalam sukan kompetitif itu selain mewujudkan platform kompetitif untuk wanita muda dan bakal atlet wanita di Negara Brunei Darussalam.
Enam pasukan akan tampil dalam format pusingan robin, sekali gus memastikan peluang yang besar untuk setiap pasukan mempamerkan bakat mereka dan bersaing dalam persekitaran yang mesra dan inklusif.
Kejohanan yang dijadual berakhir pada 1 Oktober itu akan memberi peluang keemasan untuk pembangunan kemahiran dalam kalangan pemain, membangunkan kerja berpasukan dan meningkatkan taraf keseluruhan bola keranjang wanita di Negara Brunei Darussalam.
