Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 APRIL – Dalam usaha menanam semangat yang utuh dan memupuk kecemerlangan dalam diri setiap pelajar, Fakulti Ekonomi dan Kewangan Islam (FEKIm), Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Persatuan Pelajar Kewangan dan Ekonomi Islam (iFESS) telah mengadakan ceramah motivasi bertajuk ‘Membentuk Modal Insan Cemerlang Pada Era Endemik Menerusi Model Pendidikan Islam’, baru-baru ini.
Objektif ceramah motivasi tersebut adalah untuk memupuk nilai jati diri insan rabbani yang cemerlang di dalam bidang akademik pada era normal baharu yang bersendikan pendidikan beracuankan Islam.
Ceramah tersebut telah disampaikan oleh Kaunselor Adjung UNISSA, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor dengan Dekan FEKIm UNISSA, Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul
Rani selaku moderator.
Ceramah yang berlangsung selama sejam setengah itu menekankan mengenai pentingnya anak-anak mengasihi dan selalu mendampingi ibu bapa kerana doa dan reda ibu bapa kepada anak-anak merupakan kunci utama membentuk model insan yang cemerlang di dunia dan di akhirat.
Selain itu, penceramah juga menekankan kepentingan menghormati dan menjaga hubungan silaturahim sesama jiran tetangga kerana yang demikian akan dapat mewujudkan suasana kehidupan yang harmoni dalam bernegara.
Acara petang itu diteruskan dengan majlis penyampaian Anugerah Sijil Dekan kepada pelajar-pelajar FEKIm yang cemerlang dalam bidang program akademik masing-masing yang mendapat purata bilangan mata gred 3.67 ke atas pada Semester 1 dan 2, Sesi Akademik 2020/2021 dan juga Semester 1, Sesi Akademik 2021/2022.
Seramai 131 orang pelajar telah menerima sijil yang disampaikan oleh Dr Abdul Nasir.