Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Konvensyen Pemimpin Sekolah berfungsi sebagai platform strategik yang mencerminkan dedikasi Kementerian Pendidikan untuk memupuk kecemerlangan kepimpinan, menyelaraskan dasar dengan amalan bilik darjah dan memacu kesepaduan sistemik. Setiap tahun, konvensyen berkenaan mengukuhkan komuniti profesional sementara menyediakan ruang kolaboratif untuk inovasi, refleksi dan perancangan ke hadapan.
Contoh ketara impak konvensyen sebelumnya adalah pemba-ngunan dan pelaksanaan Program Sahsiah Pelajar (PSP) yang diperkenalkan pada simposium tahun lepas yang mana PSP telah berjaya dilancarkan di 76 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Melalui inisiatif itu, aktiviti kokurikulum telah berubah daripada aktiviti rekreasi semata-mata kepada komponen pembangunan pelajar yang berstruktur dan bermatlamat.
Dengan menyepadukan empat elemen teras iaitu Fizikal, Kreativiti, Rohani dan Perkhidmatan, PSP meningkatkan pertumbuhan holistik pelajar dan memastikan bahawa aktiviti kokurikulum menyumbang secara bermakna kepada prestasi pembangunan keseluruhan mereka.
Perkara berkenaan antara yang dikongsikan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin semasa menyampaikan ucapan selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan perasmian Konvensyen Pemimpin Sekolah ke-7 Tahun 2025 bertempat di Dewan Persidangan BRIDEX, Jerudong, pagi tadi.

“Melengkapi inisiatif-inisiatif ini, Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP) telah memajukan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM) melalui STEAM Competency Rubrics, yang pertama kali diperkenalkan pada Konvensyen Pemimpin Sekolah 2023-2024. Rubrik ini mengenal pasti sembilan kecekapan teras progresif yang mengubah pendidikan STEAM daripada penyampaian kandungan kepada perkembangan kemahiran yang komprehensif, sekali gus mempersiapkan pelajar untuk kerjaya masa depan dan penglibatan kewarganegaraan.
“Pada masa ini, sekolah-sekolah yang terpilih sedang mempelopori rubrik ini dengan sokongan padu antara jabatan. Selain itu, perbincangan diteruskan dengan Jabatan Pendidikan Kokurikulum bertujuan untuk menyepadukan rubrik ini ke dalam rangka kerja PSP sedia ada, memastikan kesepaduan dan memaksimumkan impak merentas sistem pendidikan kita,” ujar beliau.
Dr Shamsiah menambah konvensyen itu meraikan kepimpinan dan pencapaian dan merakamkan penghargaan kepada para pemimpin sekolah yang baru dilantik dan diharap mereka akan terus membimbing dengan penuh wawasan, belas kasihan dan keberanian.
Dr Shamsiah turut menjelaskan dengan pelancaran Buku Panduan Pelaksanaan Kegiatan Kokurikulum oleh Jabatan Pendidikan Kokurikulum menandakan perkembangan strategik bagi memantapkan asas kecemerlangan di seluruh landskap pendidikan negara.
“Buku panduan ini berfungsi sebagai pelan tindakan untuk pembentukan peribadi yang mengukuhkan perjalanan pembelajaran pelajar kita dalam memupuk integriti, kepimpinan dan daya tahan.
“Ia melambangkan komitmen negara kita untuk mengutamakan pembangunan menyeluruh anak-anak sebagai asas sistem pendidikan kita,” tambahnya.