Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Seramai 80 orang kanak-kanak daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan anak-anak yatim telah terpilih mengikuti Program Cintai Al-Quran 2019 yang berlangsung di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Kampung Mentiri, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya melancarkan program yang julung kalinya diadakan itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.
Yang Berhormat Pehin dalam ucapannya menjelaskan, program itu merupakan platform untuk kanak-kanak tersebut bergerak ke hadapan menimba ilmu dan mendalami Al-Quran sebagai teman hidup seterusnya mengambil peluang yang diberikan dengan sebaiknya.
Beliau seterusnya menyeru ibu bapa dan penjaga untuk memberi sokongan secara berterusan kepada kanak-kanak tersebut untuk kejayaan pada masa akan datang.
“Sokongan dan dukungan berterusan ini amatlah mustahak untuk masa depan anak-anak selain mendapat ganjaran daripada Allah,” tambahnya.
Sejurus pelancaran program berkenaan, Yang Berhormat Pehin menyampaikan naskhah muqaddam kepada wakil pelajar dan penyampaian sijil penghargaan kepada guru-guru, penyumbang dan penaja program. Yang Berhormat Pehin seterusnya mengadakan lawatan ke kelas-kelas program di sekolah berkenaan dan seterusnya beramah mesra dengan pelajar yang mengikuti program tersebut mengikut kelas masing-masing.
Antara lain tujuan program berkenaan adalah untuk mendidik serta membimbing kanak-kanak ke arah kecenderungan dan fasih dalam bacaan Al-Quran, selain memupuk minat membaca dan menyelami Al-Quran dan secara tidak langsung menarik minat untuk mempelajari Bahasa Arab. Program berkenaan dibahagikan kepada dua kelas iaitu Kelas Iqra dan Kelas Al-Quran yang mana program berkenaan telah bermula pada 12 April lalu dan diadakan setiap Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi hingga Disember.
Turut hadir pada majlis pelancaran program berkenaan ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman yang juga ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun, Pelumpong dan pemangku ketua Kampung Serasa.
Program berkenaan dianjurkan Biro Keagamaan, Majlis Perundingan Kampung Rancangan Perumahan Negara Kampung Panchor Mengkubau.

