Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Shell LiveWIRE Brunei Sdn Bhd, hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU).
MoU itu adalah untuk memberi sokongan padu antara Kementerian Pendidikan dan Shell LiveWIRE dalam Keusahawanan di Sekolah, kolaborasi secara formal dan tidak formal dalam program latihan, acara, bengkel dan perbincangan yang bermanfaat kepada pihak berkepentingan.
Majlis penandatanganan berlangsung di Bilik Persidangan P1, Kementerian Pendidikan di mana menandatangani bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui Kementerian Pendidikan ialah Ketua Pusat Inovasi Keusahawanan (EIC), Awang Adna Shatriremie bin Haji A Abdul Rahman, dan Shell LiveWIRE Brunei pula diwakili oleh Pengerusi Shell LiveWIRE Brunei, Awang Mohammad Erwan bin Haji Mohammad Said.
Hadir menyaksikan majlis penandatanganan tersebut ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Julaihi bin Haji Mohamad @ Mohamat dan Pengarah Program Shell LiveWIRE Brunei, Awang Abdul Qawiem bin Haji Yacob.
Awang Adna Shatriremie dalam ucapannya berkata, kerjasama antara Kementerian Pendidikan dan Shell LiveWIRE bukanlah perkara baharu.
Kerjasama pertama antara Shell LiveWIRE Brunei dan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dengan Kementerian Pendidikan bermula semasa pelancaran Skim Pendidikan Keusahawanan Brunei (BEES) pada 2012.
Kerjasama kedua bermula pada 2016 hingga 2018 melalui Perkampungan Keusahawanan, UBD di bawah platform Agenda Keusahawanan Nasional untuk BEES 2.0.
EIC, Kementerian Pendidikan turut berbesar hati dijemput oleh Shell LiveWIRE Brunei sebagai hakim untuk Anugerah Perniagaan Shell LiveWIRE dan sebagai penceramah untuk LiveWIRE Hackathon.
Ujar beliau lagi, Kementerian Pendidikan dan LiveWIRE telah menyokong satu sama lain melalui cara formal dan tidak formal dalam program latihan, acara, bengkel dan perbincangan untuk memberi manfaat kepada pelajar, terutamanya di institusi pengajian tinggi seperti Pertandingan Keusahawanan BIMP-EAGA.


