Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Pusat Sejarah Brunei (PSB) sebagai Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei meneruskan pelbagai prakarsa yang positif bagi menyuntik semangat dan memupuk kesedaran dalam kalangan rakyat dan penduduk negara mengenai kepentingan persejarahan negara untuk diketahui, dipelajari, difahami dan dihayati.
“Oleh itu, perancangan strategik dan pendekatan baharu yang sesuai terus difikirkan bagi memastikan persejarahan negara terus dipelihara, dipertahankan, diperkukuh dan disebarluaskan lagi bagi menempuh cabaran dan hambatan dalam era globalisasi masa kini.”
Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengetua PSB, Awang Mohammad Faisal bin Haji Mat Salleh dalam ucapan alu-aluannya di Peringkat Akhir Pertandingan Pidato Sejarah Piala Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ke-4, 2024 yang berlangsung di Dewan Jawatan Dalam, PSB, hari ini.
Beliau turut menyatakan pertandingan pidato sejarah merupakan salah satu usaha dan inisiatif PSB untuk memasyarakatkan persejarahan negara kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di negara ini terutama kepada generasi belia yang merangkumi pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi.
Menerusi pertandingan itu, para peserta berpeluang meningkatkan pengetahuan dan memperkukuhkan lagi pemahaman mereka terhadap persejarahan negara.
“Mereka juga dapat mengembangkan kemahiran dan kecekapan dalam membuat sebarang penilaian dan tafsiran terhadap sumber-sumber sejarah yang berasaskan kepada kaedah penyelidikan, kajian dan analisa sejarah yang dipraktikkan di jabatan ini,” tambahnya.
Selain itu, pertandingan tersebut mampu menjadikan sejarah sebagai satu bidang yang menarik untuk dipelajari.
Beliau turut menyatakan menerusi medium seperti itu juga, ia berpotensi melahirkan generasi belia yang celik dan menghargai nilai sejarah yang menjadi lambang kepada jati diri dan identiti negara.