Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Sebagai usaha memupuk kesedaran dalam mengurangkan punca masalah alam sekitar kepada pelajar, Sekolah Rendah Dato Basir telah menganjurkan Eco Green Project yang berlangsung di sekolah berkenaan, kelmarin.
Semasa berucap pada majlis itu, guru besar sekolah berkenaan berkata, “Masalah alam sekitar seperti pemanasan global, pencemaran udara, pencemaran air dan kepupusan flora dan fauna semakin mendapat perhatian daripada masyarakat.
“Kesedaran alam sekitar bermula dengan keprihatinan masyarakat terhadap masalah alam sekitar yang semakin meruncing di mana manusia bergantung secara fizikal dan emosi dengan alam semula jadi dan sebaliknya keadaan ekosistem dan spesies pula bergantung kepada tindakan manusia,” jelas beliau.
Katanya lagi, kesedaran mengenai masalah yang dihadapi alam sekitar muncul daripada keprihatinan terha-dap perkara seperti kualiti air minuman, kesan bernafas dalam udara yang tercemar, kepupusan hidupan liar dan tumbuhan serta pemanasan global.
Masalah alam sekitar semakin serius, ujar beliau, telah meningkatkan kesedaran masyarakat bahawa pentingnya memelihara alam sekitar daripada terus tercemar.
Beliau menyatakan, projek berkenaan telah mendapat sambutan menggalakkan daripada murid-murid dan ibu bapa kerana telah sudi menyumbangkan anak-anak pokok bunga dan
tumbuhan.
Anak-anak pokok bunga dan tumbuhan berkenaan akan ditanam di persekitaran sekolah dan dijadikan tanaman mini landskap di plot yang telah ditetapkan.
Dengan adanya aktiviti tersebut, kesedaran mengenai kepentingan memelihara alam sekitar menerusi infrastruktur hijau dalam kawasan sekolah boleh dijadikan sebagai amalan gaya hidup sihat.
Aktiviti yang bermanfaat itu dilaksankan bersama pelajar-pelajar dan ibu bapa mereka dalam program Hijau Lingkungan Sekolah.