Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk kerjasama maritim ASEAN

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 MEI – Kumpulan Kerja Pengangkutan Maritim ASEAN (MTWG) ke-46 telah bersidang dari 6 Mei lalu hingga hari ini di negara ini, menandakan satu peristiwa penting dalam memupuk kerjasama serantau dan kemajuan maritim dalam komuniti ASEAN.
     
    Majlis perasmian Mesyuarat MTWG ke-46 telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.
     
    Dalam ucapan perasmian, Ir Haji Mohammad Nazri antara lain menekankan kepentingan perhimpunan berkenaan dalam memajukan kerjasama maritim dalam rantau ASEAN dan merealisasikan objektif Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
     
    Beliau turut menekankan peranan penting ketersambungan pengangkutan dalam memupuk pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran dalam komuniti ASEAN, menggunakan inisiatif utama seperti Pelan Induk Kesalinghubungan ASEAN yang menyumbang kepada pengukuhan rangkaian logistik, mempercepatkan perdagangan, dan mempromosikan pelancongan di seluruh rantau ini, jelasnya.
     
    Mengiktiraf cabaran-cabaran yang dihadapi oleh sektor maritim, termasuk perubahan iklim dan pendigitalan, beliau menekankan kepentingan usaha kolaboratif dalam kalangan pihak berkepentingan untuk menangani cabaran-cabaran berkenaan sambil memastikan keselamatan dan kemampanan operasi maritim. 
     
    Gambar ramai Ir Haji Mohammad Nazri bersama delegasi dari negara-negara anggota ASEAN pada Mesyuarat MTWG ke-46. – GAMBAR SERAHAN PBMP
    Mesyuarat MTWG ke-46 telah dipengerusikan oleh Penolong Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP), Dayang Salmaya Rahayu binti Salleh dan bersidang dengan ketua-ketua delegasi dari negara anggota ASEAN dan rakan-rakan dialog, bersama-sama wakil dari Sekretariat ASEAN dan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO). 
     
    Perbincangan tertumpu kepada pembangunan dan strategi pengangkutan, inisiatif pengangkutan maritim yang mampan, kerjasama dengan organisasi sektor swasta, dan isu-isu yang timbul dalam domain maritim.
     
    Mesyuarat berkenaan adalah untuk memacu perubahan penting di seluruh negara ini dan rantau ASEAN, mengukuhkan kerjasama maritim serantau, mengoptimumkan operasi pelabuhan, keselamatan pelabuhan, dan memupuk pertumbuhan ekonomi yang ketara.
     
    Penerimaan Pelan Tindakan Pengangkutan ASEAN 2026-2030 akan memainkan peranan penting dalam memajukan sistem pengangkutan maritim yang mampan dan selamat, di samping memastikan kemakmuran ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar.
     
    Sebagai komponen mesyuarat, Bengkel Pengurusan Sisa Kapal telah diadakan hari ini dengan menekankan dedikasi bersama untuk mempromosikan amalan mampan dalam sektor maritim.
     
    Negara Brunei Darussalam melalui PBMP akan mempengerusikan dan menganjurkan Mesyuarat MTWG untuk penggal dua tahun, dengan mempamerkan dedikasi yang tidak berbelah bahagi untuk membentuk landskap maritim di rantau ini, dan akan menyerahkan jawatan pengerusi kepada Kemboja pada 2026.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda