Sunday, October 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk kerjasama melalui lawatan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Bagi menandakan satu langkah penting dalam memupuk kerjasama antara kedua-dua buah insitusi pendidikan di negara ini, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal bersama delegasi UNISSA telah mengadakan lawatan ke Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa (KIGS), baru-baru ini.

    Lawatan bertujuan bagi mengetahui kemudahan yang tersedia di kolej tersebut sekali gus mengadakan perbincangan berkaitan program pendidikan KIGS.

    Hadir bagi mengalu-alukan rombongan UNISSA ialah Ketua Pegawai Eksekutif KIGS, Dr Haji Azaharaini bin Haji Mohd Jamil, bersama pegawai-pegawai pengurusan kanan, para pensyarah dan ahli Majlis Perwakilan Pelajar KIGS.

    Lawatan rombongan UNISSA ke kolej tersebut dimulakan dengan tinjauan ke beberapa buah kemudahan terkini termasuk studio multimedia yang terdapat di kolej berkenaan.

    Semasa lawatan itu, Dr Haji Norarfan melahirkan rasa kagum terhadap persekitaran pembelajaran pelajar di KIGS dan segala infrastruktur yang menekankan nilai dan kualiti pembelajaran melalui aspek teknikal dan teori.

    Dr Haji Norarfan bergambar ramai semasa lawatan tersebut. – GAMBAR SERAHAN KIGS
    GAMBAR SERAHAN KIGS
    GAMBAR SERAHAN KIGS
    GAMBAR SERAHAN KIGS

    Di samping, beliau juga menekankan aspek kepentingan pengalaman akademik pelajar dan menyediakan mereka untuk tuntutan dalam dunia profesional.

    Selepas lawatan kampus tersebut, satu mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan program pendidikan di KIGS.

    Perbincangan merangkumi pelbagai aspek, termasuk pembangunan kurikulum, metodologi pengajaran dan bidang yang berpotensi untuk kerjasama.

    Dalam pada itu, Dr Haji Azaharaini memberikan gambaran keseluruhan komitmen institusi untuk menawarkan pendidikan berkualiti dan melengkapkan pelajar-pelajar dengan kemahiran yang diperlukan untuk cemerlang dalam bidang pilihan mereka.

    Menerusi lawatan berkenaan, ia jelas menekankan komitmen bersama UNISSA dan KIGS untuk memajukan pendidikan tinggi di Negara Brunei Darussalam dan menyediakan dan memperkayakan golongan pelajar dengan perjalanan akademik yang holistik.

    Kedua-dua institusi berharap untuk membina kerjasama yang membuahkan hasil secara berterusan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda