Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk kerjasama sokong penuaan sihat

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Negara Brunei Darussalam dijangka akan beralih daripada negara yang sedang menua kepada negara yang tua dalam tempoh sedekad akan datang dengan warga berusia merangkumi lebih 14 peratus daripada jumlah penduduk.

    “Bagi kebanyakan rakyat Brunei, kami melihat warga emas sebagai aset berharga kepada negara kerana mereka melambangkan kebijaksanaan, pengalaman dan modal sosial yang boleh menyumbang kepada ekonomi, budaya dan masyarakat kita.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Rafidah binti Haji Gharif dalam ucapan alu-aluannya di sesi pembukaan Mesyuarat Lembaga Pengurusan Pusat Bagi Penuaan Aktif dan Inovasi ASEAN (ACAI) ke-14 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

    NCD bersama dengan isu kesihatan mental merupakan cabaran utama dalam kalangan warga emas di ASEAN serta menjadi penyebab utama hilang upaya, morbiditi dan kematian.

    Sekiranya tidak dibendung, penyakit-penyakit berkenaan akan memberi kesan teruk kepada sosioekonomi rantau ini, termasuk juga Negara Brunei Darussalam.

    Dr Hajah Rafidah (kanan) semasa menghadiri sesi pembukaan Mesyuarat Lembaga Pengurusan ACAI ke-14, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Suasana semasa sesi pembukaan Mesyuarat Lembaga Pengurusan ACAI ke-14, di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin. – GAMBAR OLEH JAMES KON

    Oleh itu, adalah penting untuk mengukuhkan tindakan kesihatan awam sepanjang hayat, sementara memperkukuhkan lagi sistem kesihatan, sistem sosial dan ekosistem untuk memastikan rakyat ASEAN boleh meningkat usia dengan sihat, secara aktif dan produktif.

    Dalam perkara itu, ACAI diletakkan dalam kedudukan strategik untuk memimpin dan memberi sokongan kepada kemajuan dalam penuaan aktif dan inovatif di rantau ASEAN.

    ACAI telah ditubuhkan pada 20 Mei 2020, khusus untuk menyediakan pengetahuan dan inovasi bagi menyokong dan melaksanakan dasar yang bertujuan untuk meningkatkan potensi warga emas.

    Ia juga berusaha untuk membina kapasiti dan memupuk kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN, organisasi antarabangsa dan rakan kongsi yang berkaitan untuk menggalakkan dan menyokong penuaan yang sihat.

    Mesyuarat Lembaga Pengurusan ACAI ke-14 itu dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan Awam, Thailand, Dr Opart Karnkawinpong selaku Ahli Lembaga Pengurusan ACAI Thailand serta dihadiri oleh ahli-ahli lembaga pengurusan dari negara-negara anggota ASEAN, Sekretariat ASEAN, Sekretariat ACAI dan pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam.

    Mesyuarat itu bermatlamat untuk membentangkan perkara-perkara pengurusan yang penting untuk diteliti, dipertimbangkan dan diluluskan oleh ahli-ahli.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda