Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JULAI – Sempena Anugerah CIPTA Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) 2025, Universiti Teknologi Brunei (UTB) dengan kerjasama Brunei LNG Sdn Bhd hari ini telah mengadakan Seminar Eksekutif bertajuk Green Innovation for Sustainability di Teater Kuliah 2, UTB dan juga secara maya melalui platform Zoom.
Dianjurkan sebagai sebahagian daripada Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2025, seminar itu berfungsi sebagai platform strategik untuk dialog antara pihak berkepentingan utama daripada ahli akademik, industri dan kerajaan dalam memacu inovasi yang mampan serta memupuk kerjasama penyelesaian kepada cabaran alam sekitar.
Hadir selaku tetamu kehormat pada seminar tersebut ialah Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman.
Seminar dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Jawatankuasa Seminar CIPTA 2025, Dr Ismawi bin Haji Mohd Yusof. Ia kemudian diikuti oleh ucaptama secara maya oleh Profesor Dr Wan Zuha Wan Hasan dari Universiti Putra Malaysia.
Sesi kemudian diteruskan dengan perbincangan forum yang dikendalikan oleh Timbalan Ketua Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2025, Ir. Dr Nor Asiah binti Muhamad yang mana forum itu menghimpunkan panel pakar yang terkenal mewakili ahli akademik, inovasi sektor awam dan juga industri.kewangan dan perkhidmatan.
Forum itu menampilkan panel penceramah terkenal termasuk Profesor Dr Wan Zuha Wan Hasan dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia; Ketua Bahagian Kualiti Perkhidmatan, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar; dan Ketua Jawatankuasa Teknikal CIPTA 2025, Pengiran Dr Rafidah binti Pengiran Haji Petra.
Ahli panel berkongsi perspektif dari bidang masing-masing, mengetengahkan keperluan industri yang semakin berkembang, peranan inovasi dalam pendidikan dan penyampaian perkhidmatan, serta kepentingan kerjasama untuk mewujudkan impact-driven solutions.
Perbincangan yang menarik menawarkan para hadirin pandangan holistik kesediaan inovasi dan aplikasinya merentas sektor.
Seminar tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif, di mana peserta berpeluang untuk terlibat secara langsung dengan ahli panel, memperkayakan lagi dialog dan refleksi yang dikongsi sepanjang sesi.





