Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Usaha memelihara kelestarian alam sekitar kini mendapat sentuhan kreatif daripada kumpulan BajuRaiders yang sedang menjalankan Program Eksekutif Muda ke-10 (YEP-10).
Program di bawah Institut Perkhidmatan Awam (IPA) melalui projek inovatif bertajuk The BajuRaid Project: Textile Upcycling for A Sustainable Brunei itu telah memberi peluang kepada 20 pelajar Skim Bursari Penggalak (SBP) Tahun 6, 2025 di bawah program BIBD ALAF menyertai Bengkel Textile Upcycling yang dikendalikan oleh BajuRaiders, di Level 2, CEE Event Hall, Bangunan PGGMB, kelmarin.
Program itu diterajui oleh BajuRaiders dianggotai enam pegawai kerajaan yang mana memberi tumpuan kepada pengurangan pembaziran tekstil, peningkatan kesedaran awam terhadap amalan lestari.
Di samping memperkaya komuniti dengan kemahiran praktikal dalam pengitaran semula tekstil yang boleh menjana sumber pendapatan baharu.
Sepanjang program itu, peserta didedahkan kepada isu-isu global berkaitan pembuangan tekstil, diperkenalkan kepada teknik asas jahitan, serta dibimbing dalam menghasilkan produk kitar semula kreatif seperti sarung kecil dan pembuatan pembalut buku menggunakan kain terpakai.
Pendekatan tersebut bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pengetahuan peserta, malah membuka peluang untuk memanfaatkan kemahiran tersebut dalam kehidupan seharian atau menjadikannya sebagai sumber pendapatan mikro pada masa hadapan.
Program turut diserikan dengan kehadiran Eksekutif Senior, Perolehan & Repositori Data Bahagian Perhubungan Kerajaan & Projek Khas BIBD, Dayang Norhana binti Haji Kalong sekali gus menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta sebagai penghargaan atas penyertaan dan komitmen mereka.
Program berkenaan mencerminkan komitmen generasi muda Brunei dalam memperkukuh usaha kelestarian alam sekitar melalui pendidikan, kreativiti, dan penglibatan komuniti.
BajuRaiders menyasarkan untuk memperluas inisiatif tersebut melalui penganjuran program pendidikan yang berterusan, kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan, serta aktiviti advokasi yang menyokong aspirasi Wawasan Brunei 2035 ke arah masyarakat yang berpengetahuan, berkemahiran, dan berdaya tahan.

