Tuesday, September 24, 2024
34.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk kesedaran belia tentang sembahyang

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah mengungkayahkan Wira Fajar Program Belia Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah di Masjid 2024 yang diadakan di Masjid Az-Zakireen, Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Meragang, baru-baru ini.
     
    Hadir selaku tetamu kehormat program itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
     
    Program berkenaan turut dihadiri oleh lebih 400 jemaah terdiri daripada daripada pegawai dan kakitangan KKBS dan KHEU, ahli jawatankuasa takmir masjid, pegawai-pegawai kerajaan, persatuan dan pergerakan belia, belia-belia masjid serta penduduk kampung.
     
    Program dimulakan dengan sembahyang Fardu Subuh berjemaah diimamkan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Imam Masjid Az-Zakireen RPN Kampung Meragang, Haji Nurhidayatullah bin Haji Zulkiiflee.
     
    Acara kemudian diikuti dengan tazkirah subuh bertajuk Belia Siaga Masa Depan disampaikan oleh Pemangku Pendaftar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak.
     
    Selain itu, program juga diselajurkan dengan bacaan Surah Al-Kahfi beramai-ramai yang dipimpin oleh belia Masjid Az-Zakireen, RPN Kampung Meragang, Awang Muhammad Izzat Nashruddin bin Mohammad Kamaruddin.
     
    Manakala bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dipimpin oleh Imam Masjid Az-Zakireen.
     
    Program seumpama itu dihasratkan dapat mendidik diri para belia untuk mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid serta memberikan pendedahan kepada para belia dengan mengisi aktiviti yang bermanfaat yang membawa belia-belia mendukung gagasan Negara Zikir. 
     
    Turut hadir, Setiausaha Tetap (Kebeliaan), KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi dan Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim antara yang menyertai sembahyang Fardu Subuh berjemaah di masjid tersebut. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    Para belia yang menyertai program berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KKBS
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda