Pupuk kesedaran HSE

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Bagi meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) dalam kalangan kakitangannya, Jabatan Muzium-muzium mengadakan taklimat mengenainya, hari ini.

Seramai 80 orang barisan hadapan dari Jabatan Muzium-muzium khususnya Muzium Alat Kebesaran Diraja, Muzium Teknologi Melayu, Muzium Maritim Brunei Darussalam, Muzium Daerah Belait, Taman Warisan Tasek Merimbun, Taman Arkeologi Kota Batu, Galeri Sukan dan Arkib Negara Brunei Darussalam menghadiri taklimat tersebut.

Hadir bagi sama-sama mendengarkan taklimat yang disampaikan ialah Pemangku Pengarah Muzium-muzium, Pengiran Hajah Mahani binti Pengiran Haji Ahmad, Pegawai Tugas-tugas Khas di Arkib Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus bin Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz​ dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Muzium-muzium.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, taklimat kesedaran disampaikan oleh wakil perunding Syarikat Megamas Training Co Sdn Bhd, Awang Andy Syahriel bin Ali yang menerangkan tentang keselamatan bangunan, individu dan pengendalian peralatan.

Peserta dimaklumkan mengenai akta yang berkaitan dengan isu-isu keselamatan dan kesihatan khususnya di tempat kerja dan bagaimana setiap petugas perlu mengetahui ciri-ciri keselamatan dan kesihatan dan menjadikannya sebagai satu budaya di tempat kerja.

Warga Jabatan Muzium-muzium juga diterangkan mengenai Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) yang telah ditubuhkan dalam tahun 2018 dan bertanggungjawab untuk memastikan Perintah SHENA, 2018 dilaksanakan.  Kenyataan menyatakan, kerjasama antara Jabatan Muzium-muzium dan Syarikat Megamas Training Co Sdn Bhd itu adalah yang pertama kali diadakan, menjurus kepada meningkatkan kesedaran tentang pentingnya HSE kepada warga jabatan.

YAM Pengiran Anak Haji Abdul Qudduus bersama peserta lain menghadiri taklimat berkenaan. – Gambar serahan Jabatan Muzium-Muzium