Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Bagi memupuk dan mewujudkan sistem sokongan yang lebih baik kepada golongan pesakit kanser dalam kalangan kanak-kanak di negara ini, Kumpulan Children Matters telah mengungkayahkan Kempen Kesedaran Mengenai Kanser dalam Kalangan Kanak-kanak, bertempat di Bilik Kuliah, Tingkat 3, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), petang tadi.
Kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dan Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) itu telah menghimpunkan penyertaan seramai 40 orang pelajar Kumpulan Pembimbing Rakan Sebaya dari STPRI dan Maktab Sultan Omar ‘Ali Saifuddien (SOAS).
Kempen berkenaan merupakan salah satu inisiatif bagi menjayakan projek berjudul Shining a Light on Childhood Cancer Awareness yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak yang menghidap kanser dan juga dalam memberikan panduan kepada ibu bapa dan penjaga untuk menyokong kesejahteraan kanak-kanak tersebut.
Acara dimulai dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan sesi suai kenal sebelum pembentangan dan perkongsian daripada Ketua Bahagian Onkologi Perubatan & Paliatif dan Pakar Perunding Perubatan Onkologi, Dr Haji Zulkhairi bin Haji Mohamad; dan Presiden Pusat YASKA, Dayang Tsara’ Nawwarah binti Abdullah Chen.
Kempen turut menyaksikan para peserta membentangkan topik-topik perbincangan secara berkumpulan meliputi topik-topik kanser yang telah disediakan oleh Kumpulan Children Matters.



Dalam pada itu, perkongsian mengenai kepentingan menjadi sukarelawan turut disampaikan oleh salah seorang ahli Kumpulan Children Matters.
Sepanjang kempen berkenaan, pameran berkisar penyakit kanser dan yang berkaitan dengannya turut diketengahkan oleh Pusat Pengesanan Kanser Awal, PJSC termasuklah aktiviti pemeriksaan kesihatan.
Kumpulan Children Matters adalah sebuah kumpulan pegawai-pegawai daripada agensi-agensi kerajaan yang sedang menjalani Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai Pengurusan Peringkat Pertengahan ke-35 (EDPMMO-35) yang dikendalikan oleh Institut Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri selama 13 minggu bermula dari 6 Mei lalu hingga 3 Ogos depan.
Salah satu tugasan yang perlu dilaksanakan oleh pegawai-pegawai yang terlibat dalam program tersebut ialah satu projek khidmat masyarakat dalam tempoh 1 Jun hingga 27 Julai ini.

