Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 14 OGOS – Dalam usaha memupuk kesedaran mengenai kepentingan kesihatan buah pinggang dan penyakit buah pinggang kronik (CKD), Panaga Health dengan kerjasama Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) dan KLEAN serta sokongan Jabatan Perkhidmatan Renal dan Kelab Larian BSRC telah menganjurkan Kempen Pumping Hope: United Blood Donation & Kidney Care yang diadakan di Dewan BSRC, kelmarin.
KLEAN, singkatan untuk Kidney Learning, Empowerment, Awareness & Nutrition adalah kumpulan yang terdiri daripada enam pelajar perubatan tahun tiga dari Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS) di Universiti Brunei Darussalam (UBD), yang kini sedang menjalankan projek komuniti tahun ketiga mereka. Hadir selaku tetamu kehormat pada kempen tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad
Ketua KLEAN, Dayang Nur Amalina binti Alim dalam ucapan menjelaskan, “Kes penyakit buah pinggang kronik di Brunei semakin meningkat, terutama dalam kalangan orang muda. Menerusi kempen ini, kami ingin mengetengahkan cara-cara melindungi buah pinggang serta risikonya, seperti diabetes dan hipertensi.” Dayang Nur Amalina seterusnya menekankan bahawa walaupun ramai di Brunei menyedari kepentingan mengawal gula dalam darah dan pemakanan yang sihat, beliau menegaskan diabetes yang tidak terkawal kekal menjadi salah satu punca utama CKD di negara ini.
“Buah pinggang adalah organ penting yang menapis sisa, mengeluarkan toksin dan menghasilkan hormon penting yang membantu menguatkan tulang, menghasilkan sel darah merah dan menyeimbangkan badan,” jelasnya.




