Oleh Sim Y. H. –
BELAIT, 14 OGOS – Seramai 25 orang peserta telah menyertai Program Pengurusan Risiko Bencana Berasaskan Komuniti (CBDRM) Mukim Kuala Belait yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan, Kuala Belait, hari ini.
Program selama dua hari yang bermula hari ini hingga esok, disertai oleh para peserta yang terdiri daripada penduduk kampung yang tinggal di Pekan Kuala Belait, Kampung Pandan A, Kampung Pandan B, Kampung Pandan C, Kampung Pandan F dan Kampung Sungai Teraban termasuk penghulu mukim dan ketua-ketua kampung berkenaan, ahli majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) serta para belia kampung.
Aktiviti-aktiviti yang diadakan sepanjang program selama dua hari berkenaan ialah taklimat agensi-agensi berkepentingan dalam pengurusan bencana iaitu Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC), Jabatan Daerah Beliat; Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi; Pejabat Perubahan Iklim Brunei Darussalam (BCCO), Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan; serta Perkhidmatan Kecemasan Ambulans Perubatan (EMAS), Kementerian Kesihatan; dengan tajuk taklimat, Fungsi, Peranan dan Langkah-langkah yang diambil dalam Menangani Kejadian Banjir.
Di samping itu, turut diadakan aktiviti praktikal tatacara menyelamat dan teknik mengangkat mangsa yang mengalami kecederaan, demonstrasi mencegah dan memadam kebakaran, pengawasan pekan serta menghasilkan peta bahaya.
Semasa aktiviti pengawasan pekan, para peserta bersama fasilitator program dibawa melawat ke beberapa kawasan yang terdedah kepada banjir di sekitar kawasan kampung dengan menaiki sebuah bas yang disediakan dengan kerjasama pihak JKR bagi membolehkan para peserta memerhati, mengenalpasti dan menilai kawasan yang berisiko banjir terutama bagi mengenal pasti bahaya khusus dengan mengambil nota atau gambar sebelum menghasilkan peta bahaya yang boleh dijadikan sebagai alat yang berharga untuk perancangan masa depan dan usaha tindak balas bencana.
Selain agensi-agensi berkenaan, ahli Penyelaras Persediaan Bencana (DPC) NDMC juga terlibat sama bagi menjayakan program CBDRM kali ini.
Program CBDRM merupakan projek tahunan NDMC yang dilaksanakan sejak 2010 khusus bagi para penduduk yang tinggal di mukim-mukim dan kampung-kampung berkenaan.
Program tersebut bertujuan untuk memupuk kesedaran masyarakat mengenai fungsi dan peranan agensi-agensi berkepentingan dalam pengurusan bencana di negara ini.
Selain itu, program itu adalah bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat supaya sentiasa peka akan risiko bencana dan bersiap sedia dalam menghadapi bencana dengan mengambil tindakan betul dan selamat serta untuk membina masyarakat yang berdaya tahan bencana.