Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 30 APRIL – Seramai 21 pelajar Program Diploma Kejuruteraan Kawalan dan Automasi 2023/2026 di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Kampus Jefri Bolkiah (JBC) kelmarin mengadakan pameran budaya dan tradisi Brunei sebagai sebahagian daripada Projek Pameran Mini Melayu Islam Beraja (MIB).
Acara yang berlangsung di lobi pentadbiran kampus itu, merupakan sebahagian daripada penilaian modul MIB pelajar yang ditugaskan kepada mereka untuk mencipta pameran berkaitan budaya dan tradisi Brunei.
Pameran itu bertujuan untuk memberi kesedaran dan pengetahuan am kepada masyarakat umum khususnya pelajar kampus tentang budaya bangsa dan keperluan untuk memelihara dan mengekalkannya sebagai sebahagian daripada identiti Brunei.
Hakim jemputan terdiri daripada Pegawai Pendidikan, IBTE Kampus Agro-teknologi, Awang Mohd Raimie bin Haji Mazid dan pensyarah di Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa IGS, Awang Mohd Syakirin bin Suhaimi turut dijemput untuk menilai hasil kerja para pelajar.
Kampus berkenaan berharap pameran itu akan membantu membarigakan budaya dan tradisi Brunei.