Friday, November 8, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk kesedaran pelajar tentang buli siber

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Gejala atau kejadian buli terutamanya buli siber yang berlaku di institusi pendidikan dan di tempat kerja sangat membimbangkan pada masa ini kerana gejala buli siber yang berlaku sebahagiannya tidak dapat dibendung sepenuhnya oleh pihak sekolah tanpa ada kerjasama daripada semua pihak.

    Sebagai salah satu usaha untuk membenteras gejala buli tersebut dari mengancam keselamatan dan keharmonian sesebuah sekolah, program kesedaran mengenai buli siber telah dirancang dan diperkenalkan dalam memberikan kesedaran tentang bahaya dan kesan buli siber kepada warga sekolah.

    Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh Pemangku Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Dr Hajah Dayang Nor Zaiham Midawati binti Haji Abdullah, semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Pelancaran Program Minggu B.E.S.T (Bantu, Empati, Sayangi, Tanggungjawab) Kementerian Pendidikan Tahun 2024 bertempat di Teater Multimedia, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong.

    Terdahulu, beliau antaranya menjelaskan buli siber merupakan salah satu bentuk buli yang berlaku melalui platform digital seperti media sosial, aplikasi pemesejan dan laman web.

    Buli siber boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa, termasuk tekanan emosi, gangguan mental dan dalam kes yang lebih serius, ia boleh membawa kepada kemurungan.

    Dr Hajah Dayang Nor Zaiham Midawati semasa menyampaikan kata alu-aluan pada program itu. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Oleh yang demikian, program berkenaan merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pendidikan dalam usaha membendung dan mencegah gejala buli terutamanya buli siber agar tidak berlaku dalam kalangan pelajar di sekolah.

    Dalam pada itu, Dr Hajah Dayang Nor Zaiham turut menyatakan matlamat utama dalam merancang dan melaksanakan program itu adalah untuk memberi kefahaman dan kesedaran kepada warga sekolah dalam bentuk membimbing dan mendidik pelajar, khususnya, serta masyarakat amnya dalam memahami peranan masing-masing bagi sama-sama mencegah gejala buli tersebut daripada berlaku di sekolah.

    Di samping itu, program berkenaan diharapkan akan dapat melahirkan pelajar yang berdisiplin, saling menghormati serta mempunyai peribadi dan akhlak terpuji.

    “Demi menjayakan Program Minggu B.E.S.T ini, adalah diharapkan agar setiap pihak sekolah dapat menjalankan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan meningkatkan kefahaman dan kesedaran, seterusnya tentang bahaya gejala buli siber dalam kalangan pelajar di sekolah rendah, menengah dan pusat tingkatan enam.

    “Antara cadangan aktiviti sepanjang minggu B.E.S.T adalah seperti peraduan mewarna, melukis dan kuiz di kalangan murid-murid di sekolah rendah.

    Di samping itu, sekolah menengah, maktab dan pusat tingkatan enam juga disarankan untuk membuat aktiviti berkaitan seperti rekaan infografik anti buli, kajian gejala buli siber, pembentangan buli siber dan sebagainya mengikut kreativiti sekolah masing-masing,” tambahnya lagi.

    Kongsi Dr Hajah Dayang Nor Zaiham lagi, salah satu aktiviti penting adalah pertandingan video pendek bertemakan kesedaran buli siber yang menampilkan mesej yang mempromosikan kesedaran dan pencegahan buli siber, yang mana ia dipertandingan mengikut tiga peringkat, iaitu sekolah rendah, menengah dan maktab, dan juga pusat tingkatan enam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda