Monday, April 28, 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk kreativiti, budaya dinamik

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL- Forum Kerjasama Kebudayaan Asia+ (ACCF) ke-13 bertemakan Connect, Create, Engage: Bridging Cultures for All telah diadakan di Hong Kong SAR pada 22 hingga 23 April.

    Mewakili Negara Brunei Darussalam bagi forum berkenaan ialah, Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.

    Forum yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan, Hong Kong SAR, Rosanna Law itu dihadiri oleh 17 negara, termasuk peserta-peserta dari negara-negara Belt and Road.

    Forum itu menekankan kepentingan seni, budaya dan warisan dalam menghubungkan pelbagai budaya di rantau ini, memupuk inspirasi kreativiti dan memperkasa komuniti budaya terutamanya kemajuan teknologi digital masa kini.

    Selain itu, ia juga menyentuh perubahan pelbagai aspek yang berlaku dalam memasuki zaman ketegangan geopolitik dan perang tarif yang tidak menentu, serta kesannya terhadap seni dan budaya.

    Gambar ramai peserta Forum Kerjasama Kebudayaan Asia+ (ACCF) ke-13 di Hong Kong SAR baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KKBS

    Dalam ucapan, Dr Siti Norkhalbi menegaskan komitmen berterusan Negara Brunei Darussalam dalam memupuk budaya yang dinamik dan memelihara warisan melalui peningkatan penyertaan masyarakat dalam program inklusif serta meningkatkan keupayaan bakat kreatif tempatan.

    Dr Siti Norkhalbi turut mengongsikan pencapaian Negara Brunei Darussalam dalam menubuhkan Pusat Sejarah Brunei sebagai Pusat Kecemerlangan Sejarah dan Kesultanan Brunei, pelancaran ASEAN Walk yang menampilkan arca yang lengkap dari kesemua 10 negara ASEAN serta usaha kerjasama di antara Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand dalam kejayaan mendaftarkan kebaya ke dalam Senarai Warisan Budaya Tak Ketara UNESCO.

    Turut mengiringi Dr Siti Norkhalbi ialah Ketua Pegawai Muzium dan Pengurus Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, KKBS, Dayang Hakimah binti Sufian.

    Sesi pleno juga telah diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong, di mana Dayang Hakimah telah menyampaikan pembentangan bertajuk From Strategy to Implementation: A Brunei Darussalam Journey dengan mengongsikan kejayaan Negara Brunei Darussalam dalam industri kebudayaan dan kreatif.

    ACCF+ merupakan platform inisiatif Kerajaan Hong Kong SAR yang bertujuan menggalakkan kerjasama dan pertukaran budaya dan telah diiktiraf sebagai acara kerjasama kebudayaan yang signifikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda