Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk literasi kewangan seawal mungkin

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Literasi kewangan merupakan kemahiran hidup penting dalam masyarakat kontemporari kita di mana dengan kanak-kanak membesar dalam dunia yang semakin canggih, mereka akan perlu untuk menguruskan masa depan kewangan mereka secara berdikari.

    Oleh itu, literasi kewangan harus diajar seawal mungkin sambil mengambil maklum bahawa ia merupakan sebuah proses beransur-ansur yang memerlukan masa.

    Dalam hubungan itu, untuk mencapai pelaksanaan pendidikan literasi kewangan yang berkualiti, ia memerlukan usaha kolaboratif daripada pelbagai pihak yang berkepentingan termasuk agensi-agensi kerajaan, institusi kewangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGOs).

    Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Pelancaran Kerangka Kompetensi Literasi Kewangan Brunei Darussalam bagi Kanak-kanak Sekolah dan Orang Dewasa bagi Menengah dan Pra-U yang berlangsung di Dewan Utama, Bangunan Baru, Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran rangka kerja berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyempurnakan pelancaran kerangka kompetensi literasi kewangan berkenaan.
    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah mendengar penerangan mengenai pameran mini berkaitan pendidikan kewangan.
    YB Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan buku kerangkan kepada para penerima.
    Awang Aliuddin menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis pelancaran kerangka yang berlangsung di Bangunan Baru Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Pelancaran buku kerangka itu adalah bersempena Hari Menabung Kebangsaan ke-9 yang disambut pada setiap 28 Mei dengan tema ‘Generasi Celik Kewangan’.

    Awang Aliuddin dalam ucapan alu-aluannya menerangkan bahawa usaha kolaboratif berkenaan termasuk menyediakan peluang pembelajaran secara langsung, perkongsian sumber dan bahan berasaskan bukti serta memastikan bahawa isi kandungan adalah relevan kepada pelajar-pelajar sekolah kita.

    Mengulas mengenai kerangka berkenaan, beliau menyatakan bahawa pelancarannya menandakan satu mercu tanda signifikan dalam usaha kolektif untuk melengkapkan pelajar-pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengemudi dalam dunia kewangan yang rumit.

    Kerangka itu adalah pelengkap kepada Kerangka Kompetensi Literasi Kewangan Brunei Darussalam bagi Kanak-kanak Sekolah dan Orang Dewasa bagi Peringkat Ren-dah yang dilancarkan pada April 2021.

    Sebelum pelaksanaan kerangka kompetensi literasi kewangan di peringkat rendah, jelasnya, beberapa sesi pembangunan profesional telah dikendalikan bagi guru-guru rendah yang bermatlamat untuk melengkapkan guru-guru berkenaan dengan kefahaman mengenai kerangka serta memastikan bahawa mereka adalah cekap dalam menyampaikan pendidikan literasi kewangan.

    Di samping itu, Jabatan Pembangunan Kurikulum juga telah mengendalikan lawatan sekolah untuk menyokong dan memantau pelaksanaan inisiatif berkenaan, tambahnya.

    Kerangka itu menjadi sebagai rujukan untuk meningkatkan kurikulum sekolah dengan menggabungkan konsep literasi kewangan yang sesuai dengan usia bagi pelajar di mana ia digunakan serta diintegrasikan di serata kurikulum pengajaran dan pembelajaran pelbagai mata pelajaran iaitu MIB, Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan B.A.T (Perniagaan, Seni dan Teknologi).

    Majlis diteruskan dengan pelancaran kerangka oleh Yang Berhormat Datin yang turut menyampaikan buku kerangka berkenaan kepada pengarah-pengarah, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua kluster, Jabatan Sekolah-Sekolah dan sijil penghargaan kepada ahli-ahli jawatankuasa pembinaan bahan sumber Teacher’s Resource Tahun 7 dan Tahun 8.
    Yang Berhormat Datin juga berpeluang untuk menyaksikan pameran mini yang berkaitan dengan pendidikan kewangan.

    Dengan adanya buku kerangka itu, para pelajar diharap akan dapat dilengkapi dengan pengetahuan berkaitan pendidikan kewangan bagi menjana generasi celik kewangan selaras dengan tema Hari Menabung Kebangsaan.

    Penghasilan buku kerangka itu bertujuan untuk mendukung komitmen negara dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pelajar agar pengurusan kewangan lebih teratur dan bersistematik, selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035 untuk mempunyai rakyat yang berpendidikan dan kemahiran tinggi, meningkatkan kualiti kehidupan rakyat serta pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda