Pupuk minat, hobi tanam pokok

KUALA LUMPUR – Bermacam cara boleh dilakukan dalam menggalakkan orang ramai untuk menanam pokok bagi menghijaukan bumi sekali gus mengurangkan masalah pemanasan global.

Ketua Cawangan Tapak Semaian Bioteknologi Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Dr Siti Salwana Hashim berkata aktiviti menanam pokok boleh dimulakan dengan sesuatu yang ringkas bagi mereka yang baru memulakan langkah dan berminat.

Beliau berkata antara masalah yang membelenggu mereka yang baru berjinak-jinak dengan hobi itu adalah cara pemilihan pokok yang betul.

“Cari pokok yang mudah tumbuh terlebih dahulu seperti sayur-sayuran. Apabila semakin mahir, boleh menanam jenis pokok lain seperti pokok hiasan atau pokok buah-buahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siti Salwana berkata elakkan menanam pokok yang tidak sesuai dengan persekitaran kediaman supaya tidak mengganggu orang lain dan pokok yang berbahaya kepada anak-anak kecil seperti pokok beracun, bergetah atau berduri.

Cari pokok yang betul dan mudah tumbuh untuk merangsang minat dalam penanaman pokok.

Beliau berkata menanam pokok boleh dilakukan di ruang terhad walaupun tidak mempunyai kawasan bertanah dengan pokok ditanam di dalam pasu dan polibeg.

Katanya, pelbagai barangan terbuang juga boleh dikitar semula dan diubah suai mengikut kreativiti bagi dijadikan bekas menanam pokok.

“Bahan terbuang seperti botol air mineral, botol minyak masak dan tin susu boleh digunakan semula sebagai bekas tanaman pokok bunga dan sayur-sayuran. Penggunaan bahan kitar semula itu dianggap kaedah paling sesuai untuk bercucuk tanam terutama di kawasan kediaman yang memiliki ruang terhad.

“Oleh itu, tiada alasan kediaman tidak bertanah tidak boleh menanam pokok. Selain menikmati hasil tuaian, kita juga dapat mengindahkan persekitaran dan paling utama dapat menambah bekalan oksigen serta menyejukkan bumi kita,” katanya.

Siti Salwana berkata sebelum memulakan proses penanaman, ilmu menyemai pokok tersebut perlu diambil tahu termasuk biji benih dan tanah berkualiti yang perlu digunakan untuk membantu kesuburan pokok berkenaan.

Beliau berkata penyediaannya boleh dilakukan sendiri menggunakan formula lazim dan bersesuaian untuk pelbagai jenis tanaman termasuk sayur, buah-buahan dan bunga iaitu tanah, bahan organik dan pasir menggunakan nisbah masing-masing 3:2:1.

“Apa yang penting dalam penjagaan tanaman adalah air yang cukup, pencahayaan dan baja. Sekarang ini banyak perkongsian melalui media sosial mengenai cara menanam dan menjaga pokok malah anda boleh bertanya kepada mereka yang pakar untuk panduan.

“Pihak FRIM turut memberi sokongan kepada mereka yang berminat untuk menanam pokok dengan memberi khidmat nasihat pakar seperti mengenal pasti spesies, penyediaan tapak, teknik penanaman, pengurusan tapak semaian dan penjagaan pokok,” katanya.

Beliau berkata melihat pokok-pokok yang menghijau dapat menjadi sumber ketenangan dan membantu individu menangani tekanan.

Siti Salwana berkata ketenangan dan kepuasan itu adalah ganjaran selepas mengerah kudrat menanam pokok yang penanamnya mungkin pada awalnya berpendapat mustahil untuk dilakukan.

“Cuba anda tanamkan sifat suka menanam pokok, apa jenis sekali pun dan jadikan ia hobi. Bagi ibu bapa, mereka boleh mendidik anak-anak untuk menanam pokok dengan mengajak bersama-sama melakukan aktiviti berkenaan,” katanya. – Bernama