BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Kementerian Pendidikan melalui Bahagian Program dan Akademik, Jabatan Sekolah-sekolah, hari ini telah mengadakan Pertandingan Multiplication Genius Peringkat Akhir di Auditorium 1, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS), Kampung Katok.
Pasukan Sekolah Rendah (SR) Haji Mohd Salleh, Sungai Hanching dari Kluster 2 telah berjaya menewaskan lima buah sekolah lain dalam Pertandingan Multiplication Genius Peringkat Akhir bagi tahun 2024.
Manakala di tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang oleh Pasukan SR Sengkurong dari Kluster 4 dan Pasukan SR Rimba III dari Kluster 3.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara itu ialah Pengarah Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan, Dr Hajah Sallimah binti Haji Mohammad Salleh.
Turut hadir ialah pengarah sekolah-sekolah, ketua-ketua bahagian dan unit dari jabatan sekolah-sekolah, guru-guru dan para pelajar yang mengambil bahagian.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, pertandingan Multiplication Genius itu adalah sebagai kesinambungan Program Bijak Sifir yang telah dilaksanakan di sekolah-sekolah bagi membantu pelajar untuk menguasai sifir dan kemahiran yang terdapat dalam mata pelajaran Matematik.
Pertandingan tersebut bermula pada bulan Februari lalu mengikut peringkat iaitu di peringkat sekolah dan peringkat kluster dengan melibatkan seramai 24 pelajar Tahun 3 dari enam buah sekolah rendah kerajaan yang mewakili enam kluster bertanding di peringkat akhir.
Sekolah-sekolah yang berjaya mara ke peringkat akhir ialah SR Junjongan dari Kluster 1, SR Haji Mohd Salleh, Sungai Hanching dari Kluster 2, SR Rimba III dari Kluster 3, SR Sengkurong dari Kluster 4, SR Perpindahan Kampung Bukit Beruang II dari Kluster 5 dan SR Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof dari Kluster 6.
Antara objektif pertandingan tersebut adalah bagi memupuk semangat dan minat belajar para pelajar terhadap mata pelajaran Matematik, menguasai kemahiran mengingati sifir, memberikan kesedaran akan kepentingan penguasaan Matematik dalam kehidupan dan memupuk sikap setia kawan dan semangat berpasukan.



