Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 SEPT – Seramai 28 pelajar sekolah Arab dan sekolah agama telah menyertai Pertandingan Tulisan Jawi kali ke-41 anjuran Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama yang berlangsung petang tadi bertempat di Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Pertandingan yang mula diadakan sejak tahun 1977 itu bertujuan mengetengahkan bakat pelajar dalam bidang penulisan Jawi di samping memupuk minat terhadap seni tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Selain itu, ia juga merupakan usaha JPI bagi mendukung pemeliharaan tulisan Jawi sebagai salah satu warisan negara serta memberi pendedahan awal kepada para pelajar untuk menyertai pertandingan di peringkat kebangsaan dan serantau.
Sebagai sebuah Negara Zikir yang menekankan konsep Melayu Islam Beraja (MIB), tulisan Jawi menjadi medium penting dalam mengekalkan tradisi, budaya dan identiti masyarakat Melayu Islam di Negara Brunei Darussalam. Seiring dengan tulisan Rumi, pemeliharaan tulisan Jawi amat penting agar warisan ini kekal hidup dan memberi makna kepada generasi akan datang.
Pertandingan berkenaan diharap akan terus menjadi wadah dalam melahirkan generasi muda yang mencintai tulisan Jawi serta menguasai seni penulisannya dengan baik, seiring dengan usaha berterusan mengekalkan warisan bangsa, agama dan negara.








