Friday, October 18, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk minat pelajar TVET terhadap inovasi dan keusahawanan

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 APRIL – Cabaran Inovasi dan Keusahawanan TVET merupakan acara penting yang menandakan bermulanya IBTE Launch iaitu sebuah platform khusus bagi memupuk semangat keusahawanan dan inovasi dalam kalangan pelajar-pelajar TVET.

    Perkara itu dinyatakan oleh Ketua Sekolah Perniagaan, Dayang Masnalliza binti Mohd Zaini dalam kata alu-aluannya pada Majlis Pembukaan Cabaran Inovasi dan Keusahawanan TVET Pertama yang berlangsung di Brunei Innovation Lab (BIL) Amphitheatre, Knowledge Hub, Kampung Anggerek Desa, hari ini.

    Hadir semasa majlis berkenaan ialah Pemangku Pengetua (Central), IBTE, Hajah Rohani binti Haji Mohd Salleh; Pengarah Program Shell LiveWIRE Brunei, Qawiem Yacob; Ketua Pembangunan Perniagaan, BIL, Adzimin Amin, para tenaga pengajar dan pelajar-pelajar yang menyertai cabaran berkenaan.

    Dalam kata alu-aluannya lagi, Dayang Masnaliza berkata bahawa dalam acara selama dua hari itu, para peserta iaitu pelajar-pelajar dari Sekolah Perniagaan, Sekolah Teknologi Maklumat dan Komunikasi dan Sekolah Penerbangan mempunyai peluang yang unik untuk mengambil bahagian dalam bengkel, aktiviti kerjasama dan bimbingan yang bertujuan untuk membakar minat bagi inovasi dan keusahawanan dalam komuniti TVET.

    Beliau menerangkan bahawa cabaran berkenaan bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk minat dalam inovasi dan keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui pengalaman amali dan sesi interaktif.

    Hajah Rohani, Qawein Yacob, Adzimin Amin dan Dayang Masnaliza bergambar ramai dengan para tenaga pengajar dan peserta bagi Cabaran Inovasi dan Keusahawanan TVET. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Ia juga bermatlamat untuk mempromosikan kolaborasi antara disiplin khususnya dalam bidang perniagaan dan ICT dengan memupuk pendekatan holistik kepada inovasi dan penyelesaian masalah serta untuk membangunkan dan meningkatkan kompetensi para pelajar melengkapkan mereka dengan daya tahan, kreativiti dan pemikiran kritikal yang diperlukan untuk maju dalam landskap kompetitif dunia perniagaan masa kini.

    Dayang Masnaliza turut berkata, ia adalah untuk menanam keyakinan dan ketersediaan dalam pelajar-pelajar mereka untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pertandingan yang dianjurkan oleh pembina-pembina ekosistem termasuk AITI, Shell LiveWIRE Brunei, DARe dan BIL.

    Acara itu disertai oleh pelajar-pelajar dari tiga buah sekolah berkenaan untuk mengambil bahagian dalam penyelesaian masalah inovatif dan mengenal pasti peluang-peluang keusahawanan baharu.

    Semasa cabaran itu, para pelajar daripada bidang yang berbeza akan bekerjasama untuk menangani masalah dunia sebenar dengan kenyataan cabaran pada kali ini, adalah bagi para pelajar untuk mengemukakan penyelesaian digital yang boleh memberikan manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana di Negara Brunei Darussalam.

    Terdahulu sebelum cabaran berkenaan, para pelajar telah menerima latihan dalam bentuk bengkel yang dianjurkan oleh Shell LiveWIRE Brunei dan BIL di mana mereka membiasakan diri kepada konsep-konsep daripada design thinking, prototaip dan penjanaan idea.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda