Saturday, November 16, 2024
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk minat pembelajaran dalam matematik

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 MAC – Bagi memupuk minat pengajaran dan pembelajaran dalam matematik yang akan membangunkan tahap pencapaian pelajar, Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah mengadakan Minggu Matematik.

    Di samping pembelajaran biasa, pelbagai acara tambahan dengan fokus matematik diadakan untuk pelajar sekolah berkenaan. Di samping itu, peluang diwujudkan untuk latihan lanjutan bagi guru matematik.

    Pada hari ini, JIS telah mengadakan acara latihan dan rangkaian untuk 200 orang guru matematik dari seluruh Brunei di Auditorium Pusat Seni JIS. Tahun ini, Fran Watson telah dijemput sebagai penceramah utama.

    Fran merupakan pakar yang terkenal di dunia dalam penyampaian dan pelaksanaan pendidikan matematik dalam kedua-dua sektor pendidikan rendah dan menengah.

    Beliau telah berada di barisan hadapan dalam membangunkan pendidikan matematik berkualiti yang disasarkan untuk meningkatkan pencapaian dan kecintaan pelajar terhadap subjek tersebut.

    Fokus sesi berkenaan adalah untuk menonjolkan kepentingan pembelajaran yang diterajui pelajar dalam matematik dan subjek berkenaan boleh menyeronokkan.

    Fran Watson merupakan guru yang sangat berpengalaman dari United Kingdom (UK) dan telah bekerja dalam pelbagai persekitaran sekolah selama 14 tahun dengan murid berumur antara empat hingga 16 tahun.

    Beliau kerap menyampaikan ceramah dan mengendalikan kelas induk matematik di Royal Institution, London dan kini bekerja sebagai penulis dan ketua perhubungan sekolah untuk Cambridge Mathematics, yang merupakan sebahagian daripada Cambridge University Press and Assessment.

    Antara guru yang hadir di Pusat Seni JIS kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JIS
    Fran Watson berinteraksi dengan guru-guru semasa acara latihan di Auditorium Pusat Seni JIS kelmarin. – GAMBAR SERAHAN JIS

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda