Oleh Haji Asyraf Ali
BANDAR SERI BEGAWAN – Dalam melahirkan belia-belia yang mencintai Al-Quran dan juga melahirkan aset negara yang cilik dalam agama selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir, Kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Mateen (MPAM), Kampung Mulaut baru-baru ini telah mengadakan Pertandingan Azan Subuh dan Iqamat, Menghafal Surah-surah Lazim, Bacaan Iqra lima dan enam dan juga mewarna.
Majlis berlangsung di masjid berkenaan.
Seramai lebih daripada 60 pelajar telah menyertai pertandingan tersebut. Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Kategori Azan Subuh dan Iqamat bagi pelajar lelaki berusia 11 tahun ke atas. Juga Kategori Menghafal Surah-surah Lazim bagi pelajar perempuan berusia 11 tahun ke atas dan Kategori Membaca Iqra lima dan enam bagi pelajar lelaki dan perempuan berusia sembilan hingga 10 tahun. Akhir sekali Kategori Mewarna di mana di dalam kategori ini ia telah dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pelajar lelaki dan juga pelajar perempuan yang berusia enam hingga lapan tahun.
Semasa pertandingan dilangsungkan, para peserta kelihatan sungguh teruja dan menampilkan semangat juang yang tinggi. Penuntut yang mengikuti pertandingan tersebut adalah terdiri daripada penuntut-penuntut Kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid MPAM, Kampung Mulaut.
Sementara itu, majlis penyampai hadiah pertandingan telah dilangsungkan pada 27 Oktober lalu, juga di masjid berkenaan. Hadir selaku tetamu kehormat majlis, seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Kampung Mulaut, Haji Jait bin Haji Hitam, juga selaku Penasihat Majlis Perundingan Kampung (MPK) Mulaut dan Penasihat Ahli Jawatankuasa MPAM, Kampung Mulaut. Turut hadir ialah Pegawai Masjid MPAM, Haji Muhd Khairol Nizam bin Haji Muhd Said, guru-guru serta penuntut-penuntut masjid berkenaan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam Masjid MPAM, Awang Asbinin bin Haji Zainal, juga selaku guru penghubung Kelas Al-Quran dan Muqaddam Masjid MPAM, Kampung Mulaut. Haji Jait dalam ucapannya menyatakan bahawa aktiviti yang diungkayah ini diharap agar dapat diteruskan dalam merangsang minat pelajar di samping mengikuti pembelajaran formal mereka. Beliau seterusnya menyeru agar pelajar dapat meningkatkan lagi mutu pembelajaran mereka dalam mencapai kejayaan yang diimpikan.
Johan pertandingan bagi kategori Azan Subuh dan Iqamat disandang oleh Awang Muhammad Zahran Asyraf bin Mat Zain, manakala johan bagi kategori Menghafal Surah-surah Lazim pula disandang oleh Dayang Halwa Amniah binti Haji Mohammad Azmi. Seterusnya bagi kategori Membaca Iqra lima dan enam, johan disandang oleh Awang Mohammad Wafiq Is’ad bin Haji Rosman. Kemudian Awang Mohd Akram Amsyar Aizuddin bin Haji Ajmaruddin dan Dayang Humaira Syakirah binti Mohd Hadiman, masing-masing menjuarai Kategori Mewarna bahagian lelaki dan perempuan.
Semasa ditemubual oleh Media Permata, Awang Asbinin menyatakan bahawa tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk membentuk sahsiah pelajar yang sempurna agar mampu membimbing generasi seterusnya dalam mencapai keredhaan Allah Subhanahu Wataala di dunia dan juga di akhirat.
Tambah beliau lagi, ia dapat mengeratkan lagi tali silaturahim antara guru-guru dan pelajar-pelajar serta dapat meningkatkan kemahiran dan kreativiti mereka sama ada dari segi bacaan mahupun keyakinan mereka.