Pupuk minda keusahawanan pelajar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 NOV – Sekolah Arab Belait dengan idea perniagaan, Donut Be Sad, muncul sebagai juara Pertandingan Celik-Biz ke-3 tahun ini, manakala Ma’had Islam Brunei (Kumpulan 2) dengan idea perniagaan, QUIZKU, pula muncul juara bagi Pertandingan BigStart ke-8, 2021 semasa Majlis Konvensyen Pertandingan Celik-Biz ke-3 dan Pertandingan BigStart ke-8 yang berlangsung secara dalam talian, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, majlis itu dikendalikan oleh Pusat Keusahawanan Inovasi (EIC), Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Kokurikulum di mana ia dihadiri oleh tetamu kehormat, Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman. Turut hadir ialah pemangku ketua pengarah pendidikan, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, ketua-ketua kluster, pemimpin-pemimpin sekolah dan guru-guru pembimbing dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama serta para peserta dan ibu bapa serta penjaga.

Pertandingan dijuarai oleh Sekolah Arab Belait dengan idea perniagaan, Donut Be Sad, tempat kedua Sekolah Rendah Rataie dengan idea perniagaan, Caddies for Kids serta tempat ketiga ialah Sekolah Rendah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Kumpulan 1) dengan idea perniagaan, Magic Masks.

Sementara itu, bagi Pertandingan BigStart ke-8 telah dijuarai oleh Ma’had Islam Brunei (Kumpulan 2) dengan idea perniagaan mereka, QUIZKU, tempat kedua Sekolah St James dengan idea perniagaan, Choyce serta tempat ketiga Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar dengan idea perniagaan, Ar-Rizq SMSAB.

Pertandingan bertujuan bagi memupuk kesedaran corak minda keusahawanan serta menyalurkan pendidikan keusahawanan dan inovasi kepada para pelajar daripada peringkat awal. Ia dibukakan kepada pelajar Tahun 4 dan Tahun 5 di sekolah rendah kerajaan dan swasta.

Dalam pertandingan itu, para pelajar bersaing dalam menghasilkan satu poster digital pemasaran dan satu audio pembentangan (pitching) bagi idea perniagaan (business ideation).

Manakala, BigStart bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar dengan keusahawanan dan inovasi secara realistik dan praktikal di samping memupuk kesedaran pemikiran keusahawanan. Pelajar juga mempelajari konsep Smart Experimentation di mana ia dapat membantu dalam merangka idea perniagaan mereka pada musim pandemik COVID-19. Ia dibuka kepada pelajar Tahun 9 dan Tahun 10 di sekolah menengah kerajaan dan swasta.