Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk nilai cintakan Al-Quran

    Oleh Hajah Saemah Kepli

     

    KUALA BELAIT, 11 Sept – Sebagai memupuk dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman dengan menghayati bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan melalui Unit Rohani dan Cawangan Daerah Belait baru-baru ini telah menganjurkan Pertandingan Menghafaz Ayat-Ayat Pilihan bagi Sekolah-Sekolah Rendah Senegara kali ke-29.

    Seramai 14 orang pelajar terdiri daripada tujuh orang pelajar lelaki dan tujuh pelajar perempuan telah bertanding pada peringkat akhir pertandingan tersebut berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Kampung Pandan. Dalam pertandingan itu, bagi peserta lelaki Awang Muhd Nurhidayatullah Al-Mu’Min bin Awang Rossnan dari Sekolah Al-Falaah Jalan Kebangsaan yang memilih Surah At-Tariq dinobatkan sebagai juara selepas mengumpul markah sebanyak 92 peratus.

    Sementara itu, Awang Mohd Zidan Asyfaq bin Harun Sholeh dari , Sekolah Rendah Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin Kuala Belait, dengan Surah Al-Bayinnah muncul di tempat kedua dengan markah 90.5 peratus, manakala Awang Muhd Azib Fakhrullah bin Mohd Nor Azlin dari Sekolah Rendah Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya Sengkarai dengan Surah Al-Bayinnah di tempat ketiga selepas mengumpul 86.5 peratus.

    Bagi kategori pelajar perempuan pula, Dayangku Nur Hazimah Farah binti Pengiran Haji Nor Akmal Iskandar Baharuddin Shah dari Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah dengan bacaan Surah Al-A’ala muncul juara selepas berjaya mengumpul markah sebanyak 86 peratus. Sementara di tempat kedua pula dengan markah 85.5 peratus disandang oleh Dayang Majdah Al-Zahraa binti Zawawi dari Sekolah Rendah Haji Mohd Yusof Katimahar dengan bacaan Surah Al-A’ala. Diikuti di tempat ketiga pula dimenangi oleh pelajar dari Sekolah Rendah Sinaut, Dayang Adilatul Ulya binti Haji Ma’mun Halimi Zain dengan bacaan Surah Ash-Sham selepas mendapat markah sebanyak 84.5 peratus.

    Pemenang tempat pertama bagi peserta perempuan, Dayangku Nur Hazimah Farah menerima hadiah yang disampaikan oleh Haji Asminan.
    Awang Muhd Nurhidayatullah Al-Mu’Min semasa menerima hadiah tempat pertama bagi peserta lelaki.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Haji Asminan bin Haji Chuchu.

    Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada guru besar Sekolah Rendah Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin selaku tuan rumah pertandingan, Dayang Noor Aida binti Haji Mohd Hassan.

    Pertandingan tersebut juga dihasratkan untuk mendidik murid-murid dengan menanamkan semangat cintakan Al-Quran ketika mereka masih di dalam alam persekolahan serta menjadikan membaca Al-quran sebagai suatu budaya yang wajib diutamakan kepada murid-murid di Negara Brunei Darussalam dan bagi mendukung konsep Falsafah Melayu Islam Beraja.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda