Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk nilai kebersihan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Bagi mewujudkan persekitaran bersih dan cantik, lebih 100 orang telah terlibat dalam kempen kebersihan di kawasan Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun dan sekitarnya, pada pagi ini.

    Kempen kebersihan itu melibatkan pelbagai agensi kerajaan terdiri daripada Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Jabatan Jalan Raya (JKR) dan persatuan bukan kerajaan seperti Green Brunei dengan kerjasama ahli-ahli Jawatankuasa (AJK) Takmir Masjid Al-Muhtadee Billah dan Majlis Perundingan Kampung Sungai Kebun.

    Menurut kenyataan yang diterima, kempen itu adalah sebagai kesinambungan daripada kempen kebersihan kawasan pusat bandar yang diadakan pada 8 Mac lalu bagi mendukung hasrat Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam yang telah melancarkan ‘Garispanduan Protokol Hijau’ pada 30 Januari 2021.

    Dengan pelaksanaan kempen itu, ia diharap akan dapat mencapai matlamat dan hasrat kerajaan untuk memupuk kesedaran dan tanggungjawab tentang nilai kebersihan di seluruh negara terutama sekali di persekitaran ibu negara dan keperluan mewujudkan persekitaran bersih di tempat awam khususnya kawasan masjid sebagai tempat ibadat yang perlu sentiasa bersih, suci dan indah daripada segala kekotoran yang boleh menjatuhkan imej sesebuah masjid.

    Persekitaran yang kotor dengan sampah sarap dan pondok-pondok terbiar bukan sahaja menimbulkan pemandangan yang tidak elok malah boleh mengundang kepada pembiakan serangga-serangga seperti lalat, nyamuk dan tikus yang boleh membawa bahaya dan mengancam keselamatan dan kesihatan orang ramai.

    Gotong-royong membersihkan pondok terbiar semasa kempen kebersihan di kawasan Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, kelmarin. – Gambar serahan Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda