Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar bersama Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar hari ini telah mengadakan Majlis Ihya’ ‘Eid Al-Adha bertempat di Dewan Tarbiah, KUPU SB, sebagai usaha memuliakan dan menyemarakkan sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ra’es KUPU SB, Profesor Madya Dr. Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.
Turut hadir, para pegawai eksekutif, pegawai utama, pensyarah, kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.
Majlis dimulakan dengan laungan takbir dan pengagihan daging korban, hasil penyembelihan dua ekor kerbau yang dilaksanakan sempena program ibadah korban pada tahun ini.
Majlis diserikan lagi dengan Ceramah Khas Aidiladha yang disampaikan oleh Tenaga Akademik, Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, KUPU SB, Profesor Madya Dr. Muhammad Yusuf yang menyentuh mengenai erti sebenar pengorbanan dan hikmah di sebalik ibadah korban.
Dalam ceramahnya, beliau menegaskan bahawa ibadah korban mendidik hati dan jiwa untuk bersifat pemurah serta rela membelanjakan harta ke jalan Allah SWT, sekali gus menjauhkan sifat tamak, kedekut dan terlalu mencintai harta dunia.
Ibadah korban juga, ujar beliau, memupuk nilai kepedulian, perpaduan dan keprihatinan dalam masyarakat, terutama bagi golongan yang menerima agihan daging korban, khususnya fakir dan miskin.
Objektif utama majlis adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, memperingati pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS, serta memperkukuh semangat tolong-menolong dan bergotong-royong, khususnya dalam kalangan mahasiswa dan seluruh warga KUPU SB.
Majlis berkenaan mencerminkan kesatuan ummah dalam menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh rasa syukur dan tanggungjawab keagamaan.