Oleh Yusrin Junaidi –
TEMBURONG, 20 NOV – Bagi menekankan kepentingan nilai kasih sayang serta kesederhanaan dalam kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat, Nadwah Isu Kontemporari dan Pengukuhan Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, bertemakan Memupuk Nilai Wasatiyah dalam Beragama dan Berkeluarga di Negara Brunei Darussalam, telah diadakan di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Temburong, pagi tadi.
Hadir selaku tetamu kehormat, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar. Turut hadir, Penolong Ra’es (Hal Ehwal Akademik), Dr Norasimah binti Haji Omar; pegawai-pegawai utama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB); penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung; pegawai serta kakitangan kerajaan.
Menurut kenyataan, agama Islam merupakan agama yang syumul merangkumi semua aspek kehidupan termasuk nilai kasih sayang yang menjadi asas kepada pembentukan keluarga yang kukuh dan harmoni. Dalam hal ini, isu buli yang semakin hangat diperkatakan dewasa ini dilihat mampu memberi kesan negatif kepada mangsa dan jelas bertentangan dengan syariat Islam.
Justeru, program berkaitan Kempen Kesedaran Anti Buli dilihat sebagai mekanisme awal dalam mencegah gejala tersebut daripada terus berleluasa, selain menekankan keperluan kerjasama Whole of Nation Approach bagi memperkasakan usaha tersebut di semua peringkat masyarakat.
Nadwah bertajuk Peranan Keluarga dan Masyarakat Menangani Buli turut mengetengahkan dua orang ahli panel iaitu Pegawai Pelajaran Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Haji Sammali bin Haji Adam dan Penolong Pensyarah, Pusat Kajian Fiqh Kontemporari KUPU SB, Awang Hilman bin Haji Salim.
Selain itu, kuliah umum bertajuk Konsep Kesederhanaan Beragama di Negara Brunei Darussalam disampaikan oleh Pengarah Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah KUPU SB, Dr Haji Matussein bin Haji Jumat.
Nadwah anjuran Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah KUPU SB, Pusat Kajian Fiqh Kontemporari KUPU SB dan Pejabat Hal Ehwal Daerah Temburong itu bertujuan memupuk nilai kesederhanaan beragama dan berkeluarga menurut Ahli Sunnah Waljama’ah serta mengenal pasti kaedah Fiqh Kontemporari dalam menangani isu kekeluargaan.



