Sunday, October 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk pelajar dengan ilmu AI

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JUN – Dalam usaha menuju Wawasan Brunei 2035 dan ke arah ekonomi yang dinamik, peranan kecerdasan buatan (AI) amat penting untuk memupuk pelajar bersedia bagi masa depan dan mempertingkatkan inovasi pendidikan.

    Ia menawarkan pembelajaran bagi mempersiapkan pelajar untuk cabaran di masa hadapan, tekan Ketua Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Hajah Suriani binti Haji Noor Hashim dalam ucapan alu-aluannya pada majlis pelancaran Bengkel AI Guidance for Schools Toolkit di Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI), hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat untuk merasmikan bengkel tersebut ialah Pemangku Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.

    Hajah Suriani seterusnya berkata, dengan mengintegrasikan AI ke dalam usaha transformasi digital negara, kita dapat memastikan sistem pendidikan kekal dinamik dan mampu menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi masa depan.

    Contohnya, tambah beliau, AI boleh digunakan dalam menyediakan pelajaran dalam pembelajaran campuran dan pendekatan STEM/STEAM, sambil membina pelajar sebagai warganegara yang celik digital.

    Awang Aliuddin semasa merasmikan bengkel berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Inisiatif AI juga sejajar dengan pergerakan global ke arah celik AI, menekankan penggunaan beretika dan aplikasinya yang lebih luas merentas pelbagai bidang.

    Beliau menjelaskan, Toolkit ialah dokumen yang akan berkembang bersama kemajuan AI, memastikan sistem pendidikan kita kekal di barisan hadapan.

    Terdahulu, beliau berkata, bengkel berkenaan merupakan usaha kolaboratif untuk membimbing sekolah di Negara Brunei Darussalam ke arah persekitaran pendidikan sedia AI dengan memanfaatkan rangka kerja TeachAI.

    Para peserta akan mengikuti dua sesi mengikut kumpulan masing-masing dan mendengarkan taklimat untuk melengkapkan mereka dengan pemahaman tentang memanfaatkan AI sebagai alat untuk meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.
    Beliau berharap, dengan adanya bengkel itu, para peserta diharapkan dapat mempelajari, mempertimbangkan dan memanfaatkan AI dalam pengajaran dan pembelajaran secara beretika dan bertanggungjawab.

    Siri bengkel berkenaan akan diadakan hingga 27 Julai dengan melibatkan seramai 318 orang peserta terdiri daripada ketua-ketua kluster, pemimpin-pemimpin sekolah dan guru.

    Majlis pelancaran disusuli dengan pembentangan ucaptama bertajuk Leveraging Generative AI to Enhance Classroom Learning and Efficiency yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Serantau SEAMEO STEM-ED (Thailand), Dr Kritsachai Somsaman secara dalam talian.
    Manakala itu, pembentangan bertajuk AI is Changing Our Lives telah disampaikan oleh Pegawai Pelajaran, Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan, Awang Mohammad Syafiq bin Haji Abu Bakar.

    Majlis tersebut menyaksikan kehadiran para pemimpin sekolah dan guru-guru dari sekolah-sekolah rendah, menengah dan pusat tingkatan enam kerajaan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan serta pemimpin-pemimpin sekolah dan guru-guru dari sekolah-sekolah Arab serta Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama secara fizikal dan dalam talian.

    Pelancaran bengkel tersebut menandakan satu lagi peristiwa penting bagi mendokong inisiatif-inisiatif dalam Pelan Transformasi Digital Kementerian Pendidikan selaras dengan Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, Brunei Darussalam dan visi Kementerian Pendidikan iaitu ‘Pendidikan Berkualiti, Negara Progresif’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda