Sunday, September 15, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk pendidikan awal kanak-kanak

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Awal kanak-kanak, dari lahir hingga lapan tahun, adalah penting untuk masa depan kejayaan pendidikan kanak-kanak dan keseluruhan perjalanan kehidupan di mana terdapat sorotan penyelidikan tentang kepentingan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti tinggi dalam pemupukan pencapaian akademik dan peluang ekonomi sepanjang hayat.

    Di Negara Brunei Darussalam, kita mempunyai sistem kerjasama yang baik merangkumi pelbagai agensi seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kebudayaan, Belia, dan Sukan dan lain-lain agensi. Semua agensi tersebut berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang komprehensif untuk kanak-kanak berumur sifar hingga lima tahun, menekankan pendekatan holistik bagi perkembangan mereka.

    Perkara berkenaan dikongsikan oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin semasa menyampaikan ucapan perasmian bagi acara webinar berjudul Sharing Practices and Experiences in Early Childhood Care and Education in Brunei Darussalam anjuran Kementerian Pendidikan melalui Unit Pendidikan Awal Kanak-kanak, Jabatan Sekolah-sekolah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Khas, bertempat di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, pagi tadi.

    Beliau antaranya turut menambah pengungkayahan webinar berkenaan bertepatan dengan usaha serantau di bawah Pelan Strategik SEAMEO 2021 hingga 2030 dan program-program 7-7-7 Flagship yang dimulakan oleh Filipina. Inisiatif itu memberikan tumpuan kepada pengukuhan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (ECCE) di seluruh Asia Tenggara melalui kerjasama dan perkongsian ilmu. Selain itu, ia juga bagi menggalakkan pertukaran lebih lanjut dan memanfaatkan pengalaman ahli-ahli negara SEAMEO untuk menambah baik sistem dan dasar pendidikan.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati turut berkata webinar berkenaan bertujuan untuk menyerlahkan lagi kepentingan kualiti tinggi penjagaan awal kanak-kanak, pendidikan inklusif, dan amalan-amalan keibubapaan yang berkesan. Di samping itu, ia juga bagi mewujudkan platform dengan berkongsi amalan yang berjaya dan strategi dalam ECCE serta pendidikan inklusif, memudahkan pembelajaran dalam kalangan pihak berkepentingan; dan menggalakkan perkongsian ahli akademik, pengamal, agensi kerajaan, serta komuniti sekolah untuk memajukan inisiatif ECCE dan memartabatkan hak kanak-kanak dalam pendidikan berkualiti.

    Dalam pada itu, beliau turut menyatakan menerusi webinar berkenaan bahawa ia mencerminkan komitmen kolektif untuk meningkatkan kualiti penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak.

    Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati ketika menyampaikan ucapan perasmiannya. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda