Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk pengetahuan, pemahaman sains dan matematik

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JUN – Rombongan seramai empat orang pelajar dan dua orang guru pengawas mengambil bahagian dalam 13th Regional Congress Search for SEAMEO Young Scientists Programme 2024 yang berlangsung di Pulau Pinang, Malaysia bermula esok hingga 14 Jun.

    Program anjuran Pusat Serantau SEAMEO bagi Pendidikan dalam Sains dan Matematik (SEAMEO RECSAM) itu diselaraskan oleh Pusat Kerjasama Sains Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) dan Pusat Perkembangan Pendidikan Cerdas Pantas dan Berbakat (EDGE), Kementerian Pendidikan.

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar dan memberikan kata-kata nasihat kepada rombongan ialah Ketua EDGE, Kementerian Pendidikan, Dr Mona Aliana binti Dato Paduka Haji Mohd Alimin.

    Turut hadir ialah pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan, ibu bapa serta keluarga rombongan berkenaan.

    Program itu disertai oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Masin iaitu Awang Aiman Raziq bin Haji Radin dan Awang Muhd Hanif Zakwan bin Muhd Amirshah serta dari Sekolah Menengah Berakas iaitu Awang Abdullah Humam Baqir bin Mohd Salleh dan Awangku Mohd Akmal Safeyullah bin Pengiran Suhaimi.

    Rombongan pelajar dan guru yang menyertai program berkenaan bergambar ramai sebelum berlepas ke Malaysia. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Turut mengiringi pelajar-pelajar berkenaan ialah pegawai-pegawai pendidikan dari Sekolah Menengah Masin, Awang Kassim bin Haji Abdul Gani dan dari Sekolah Menengah Berakas (SMB), Dayang Nurathirah binti Yahya serta Pegawai Pelajaran Pusat STEP, Dayang Nurul Fathiah binti Brahim @ Haji Ibrahim.

    Program yang membawa tema Youth for One Health through STEM Innovations itu menyaksikan dua projek terpilih untuk dibentangkan dalam program berkenaan bertajuk Tackling Gadgets Addiction in Strengthening One Health for Youth in Increasingly Challenging 21st Century Era dari Sekolah Menengah Masin dan Eggradicate: A Hypochlorous Acid Bio-Decontamination Process dari SMB.

    Antara perisian program berkenaan ialah penilaian pameran projek, bengkel untuk para guru dan pelajar, ceramah kerjaya dan permainan pendidikan yang berunsurkan STEM untuk pelajar.

    Di samping itu, para peserta juga berpeluang menyertai lawatan Pulau Pinang pada akhir program berkenaan.

    Salah seorang peserta program, Awangku Mohd Akmal Safeyullah dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, menyatakan harapan menerusi penyertaan dalam program itu, beliau akan dapat bertukar-tukar pengetahuan dan memperoleh pengalaman yang berguna yang dapat dimanfaatkan dalam pengajiannya.

    Program itu bertujuan untuk memupuk rasa ingin tahu para pelajar dari negara-negara anggota SEAMEO, menggalakkan penyelidikan dan inovasi dalam bidang sains dan matematik di kalangan belia, menggalakkan belia untuk mengambil bahagian dalam inisiatif One Health serta menyediakan platform untuk rangkaian bagi para belia dan pendidik di seluruh rantau ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda