Wednesday, December 18, 2024
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk penggunaan berhemah telefon pintar seawal usia

    PETALING JAYA – Mungkin mudah untuk meluluskan undang-undang yang melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan kanak-kanak, tetapi tidak mudah untuk menguatkuasakannya, kata seorang pakar kanak-kanak.

    Presiden serta Pengasas Majlis Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak Datuk Dr Chiam Heng Keng berkata memperkasakan kanak-kanak sejak usia muda tentang sosialisasi dan penggunaan telefon pintar untuk pembelajaran dan komunikasi adalah lebih sesuai.

    “Penggunaan telefon pintar dalam kalangan kanak-kanak kecil dan remaja di Malaysia sangat meluas.

    “Tinjauan di empat negara ASEAN, termasuk Malaysia, oleh Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) empat tahun yang lalu menunjukkan kanak-kanak dan remaja di kawasan luar bandar juga memiliki telefon pintar,” katanya dalam satu temu bual.

    Pakar psikologi sosial itu berkata peningkatan penggunaan telefon pintar mempunyai kesan baik dan buruk terhadap kesihatan fizikal dan mental kanak-kanak.

    Gambar ANN/The Star
    Seorang pelajar menggunakan telefon pintar di luar waktu pembelajaran. – Gambar ANN/The Star
    Penggunaan peranti pintar dalam kalangan golongan muda boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan mental dan kesejahteraan mereka. – Gambar Freepik

    “Daripada mengambil bahagian dalam permainan atau aktiviti luar, kanak-kanak terpaku pada gajet.

    “Pengasingan sosial ini juga memberi kesan kepada mereka dari segi sosial dan emosi.

    “Keletihan mata yang boleh merosakkan penglihatan dan obesiti adalah antara akibatnya.

    “Namun kita tidak boleh menafikan bahawa Internet menyediakan pelbagai maklumat termasuk kandungan yang berbahaya,” katanya.

    Chiam berkata penggunaan telefon pintar oleh ibu bapa juga merupakan faktor lain kerana kanak-kanak mungkin berasa tidak senang apabila dinafikan sumber hiburan dan komunikasi mereka. “Penggunaan yang terbatas juga sukar untuk dipantau.

    “Jadi melatih kanak-kanak pada usia yang sangat muda untuk mempunyai kemahuan dan kebijaksanaan menggunakan telefon pintar bagi tujuan berkomunikasi dan mendapatkan maklumat tanpa menghalang mereka daripada aktiviti fizikal dan pergaulan sosial adalah cara yang paling sesuai,” katanya.

    Mod kanak-kanak

    Pada masa ini, penggunaan telefon bimbit tidak dibenarkan semasa kelas, tetapi amalan ini berbeza dari sekolah ke sekolah.

    Sesetengah sekolah membenarkannya, kerana pelajar perlu menghubungi ibu bapa mereka untuk aktiviti selepas sekolah. Sekolah swasta mempunyai peraturan tersendiri.

    Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim (gambar-kanan) berkata jika guru boleh mengajar menggunakan peranti pintar untuk berinteraksi dengan pelajar, maka tidak akan ada keperluan untuk telefon pintar di dalam bilik darjah.

    “Kami telah menyokong penggunaan telefon pintar sebagai alat pembelajaran dalam bilik darjah,” katanya.

    Sebagai alternatif, beliau berkata pembelajaran boleh dilakukan di luar talian jika terdapat ancaman kesihatan daripada peningkatan masa penggunaan atau pendedahan radiasi daripada peranti pintar.

    UNESCO telah menggesa agar bilik darjah di seluruh dunia mengharamkan penggunaan telefon pintar, dengan mengatakan bahawa peranti-peranti tersebut mengalihkan perhatian pelajar daripada pembelajaran, memberi kesan buruk kepada kesihatan mental dan kesejahteraan mereka, serta datang dengan pelbagai isu privasi berkaitan data golongan muda.

    Cadangan itu datang daripada Laporan Pemantauan Pendidikan Global 2023 yang diterbitkan pada 26 Julai, yang menganalisis dasar-dasar global tentang penggunaan teknologi dalam bilik darjah dan kajian mengenai bagaimana skrin dan media sosial memberi kesan kepada golongan muda.

    China sedang mempertimbangkan untuk menyekat penggunaan telefon bimbit bagi mereka yang berumur di bawah 18 tahun sebagai sebahagian usaha negara itu untuk mengatasi ketagihan Internet dan cuba memupuk ‘nilai-nilai moral dan sosialis yang baik’ dalam kalangan golongan muda.

    Pengawal selia Internet negara tersebut, Pentadbiran Ruang Siber China, mencadangkan agar semua peranti mudah alih, aplikasi dan kedai aplikasi mempunyai ‘mod kanak-kanak’ yang akan mengehadkan masa skrin harian kepada maksimum dua jam sehari, bergantung pada kumpulan umur.

    Disiplin diri dan keseimbangan

    Ketika dihubungi, seorang ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Su, berkata dia telah mencuba pelbagai kaedah untuk mengelak tiga anaknya yang berusia sembilan, 12 dan 16 tahun daripada meluangkan terlalu banyak masa di hadapan skrin.

    “Saya cenderung mengabaikannya apabila saya sibuk bekerja. Tetapi penggunaan perisian kawalan ibu bapa dan peringatan sedikit sebanyak membantu,” kata usahawan berusia 44 tahun dari Shah Alam itu.

    Kak Su berkata dia juga mengingatkan anak-anaknya mengapa masa skrin yang terkawal diperlukan, dan melibatkan mereka secara langsung untuk bertanggungjawab terhadap kesejahteraan mereka.

    “Anak sulung saya pernah ketagih bermain permainan dalam talian di telefon pintarnya dua tahun lalu.

    “Apabila nasihat dan teguran tidak berkesan, saya memberi kata dua kepada dia,” katanya.

    Kak Su berkata pada mulanya dia membenarkannya bermain permainan sepanjang hari, tetapi dia perlu menyediakan makanan sendiri, melakukan kerja rumah sendiri dan menghadiri kelas dalam talian.

    “Dia sangat seronok pada minggu pertama. Kemudian, dia mula menjadi gelisah dan cepat marah.

    “Ketika itulah saya menghalangnya dan mengambil telefonnya,” katanya.

    Kak Su berkata dia kemudiannya menunjukkan kepada anaknya video-video di mana dia secara rahsia merakam tingkah laku buruknya.

    “Di situlah saya mengajarnya tentang disiplin diri dan keseimbangan.

    “Dia faham bagaimana dia hilang kawalan dan tidak keterlaluan menggunakan telefon pintarnya sejak itu,” tambahnya. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda