Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk perpaduan laksana ibadah korban

    Oleh Salawati Haji Yahya, Yusrin Junaidi & Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 JUN – Sambutan Hari Raya Aidiladha di Negara Brunei Darussalam pada tahun ini meriah dengan majlis-majlis ibadah korban yang dikendalikan oleh pelbagai pihak sama ada secara persendirian atau berkumpulan menerusi masjid-masjid, majlis perundingan kampung (MPK) dan persatuan yang sekali gus memupuk semangat perpaduan sesama mereka.

    Hari tasyrik telah berakhir kelmarin, di mana banyak pihak mengambil kesempatan itu untuk mengendalikan ibadah korban termasuk Masjid Suri Seri Begawan Raja Pengiran Anak Damit (SSBRPAD), Kampung Manggis/Madang, di mana sembilan ekor kerbau telah dikorbankan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pengagihan daging korban ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD.

    Turut hadir ialah Penasihat Jawatankuasa Takmir Masjid SSBRPAD, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Pada majlis itu, daging korban telah diagihkan kepada 30 orang yang terdiri daripada keluarga asnaf dan anak yatim.

    ATAS & BAWAH: Dato Seri Paduka Awang Mohd Riza menyampaikan daging korban kepada penerima pada majlis anjuran Masjid SSBRPAD. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Awang Zainal Abidin menyempurnakan pengagihan daging korban pada majlis kendalian PEMEDAYAN. – GAMBAR SERAHAN PEMEDAYAN
    Gambar ramai pada majlis ibadah korban PEMEDAYAN di Masjid Kampung Beribi. – GAMBAR SERAHAN PEMEDAYAN
    ATAS & BAWAH : Ketua Kampung Pulau Baru-Baru, Sungai Bunga dan Tanjung Kindana menyampaikan agihan daging korban kepada para penerima pada majlis kendalian MPK Sungai Bunga. – GAMBAR SERAHAN MPK SG BUNGA
    ATAS & BAWAH : Daging korban diagihkan kepada para penerima pada majlis di Masjid Kampung Kilanas, sementara gambar kanan Pengiran Haji Mohd Hasnan menyerahkan daging korban. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH : Haji Ahmad Abdussalam menyampaikan agihan daging korban kepada para penerima daripada kalangan mualaf. – GAMBAR SERAHAN PDI
    GAMBAR SERAHAN PDI

    Majlis diteruskan dengan pengagihan daging korban kepada orang awam secara pandu lalu.

    Masjid Kampung Kilanas juga telah mengadakan majlis serupa, kelmarin, di mana enam ekor kerbau telah dikorbankan daripada 32 orang peserta.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Kebudayaan) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan.

    Pada majlis itu, daging korban telah diagih-agihkan kepada seramai 40 orang asnaf fakir miskin

    Sementara itu, Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Kebajikan Mualaf) telah bekerjasama dengan Persatuan Nurul Islam (PNI) dan Kelas Bimbingan Mualaf (KBM) Daerah Brunei dan Muara bagi mengadakan Majlis Ibadah Korban Sunat ke-11 bertempat di Bilik Al-Mau’izhah, Bangunan Darul Huda, PDI, Kampung Pulaie.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan pengagihan daging ibadah korban ialah Penolong Pengarah PDI, Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman.

    Pada tahun ini, empat ekor kerbau telah dikorbankan daripada 25 orang peserta dan diagihkan kepada kira-kira 100 orang mualaf.

    Turut mengadakan majlis seumpamanya adalah MPK Sungai Bunga yang berlangsung di Pusat Aktiviti Pelancongan Seri Tanjung di mana majlis dimulakan dengan laungan takbir.

    Penyampaian agihan daging korban telah disempurnakan oleh Ketua Kampung Pulau Baru-Baru, Sungai Bunga dan Tanjung Kindana, Awang Zaini bin Haji Salleh, yang juga Pemangku Penghulu Mukim Kota Batu.

    Persatuan Melayu Kedayan (PEMEDAYAN) turut tidak melepaskan peluang dalam meraih ganjaran pahala menerusi majlis ibadah korban di Masjid Kampung Beribi, Gadong, kelmarin.

    Hadir bagi sama-sama menyempurnakan pengagihan daging-daging ibadah korban kepada 12 orang asnaf di Kampung Beribi ialah Yang Di-Pertua PEMEDAYAN, Awang Zainal Abidin bin Tinggal.

    Turut menerima agihan daging ibadah korban berkenaan ialah para jemputan dan ahli-ahli persatuan yang menghadiri majlis tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda