Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk rasa cinta terhadap Rasulullah SAW

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar (Unit Keagamaan dan Takmir Surau) telah mengadakan Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW yang berlangsung di Auditorium, UNISSA, baru-baru ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Penolong Rektor (Antarabangsa, Penyelidikan dan Perkhidmatan) UNISSA, Dr Haji Arman bin Haji Asmad. Juga hadir ialah penolong-penolong rektor, pegawai-pegawai utama, para tenaga akademik, pegawai dan kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi UNISSA.

    Menurut kenyataan UNISSA, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Exco Unit Keagamaan dan Takmir Surau, Majlis Perwakilan Pelajar UNISSA, Awang Mohammad Hamiz Mirza bin Haji Sudirman.

    Sambutan tersebut diserikan dengan penyampaian tazkirah khas yang bertema Rasulullah SAW adalah Teladan Keluarga Sakinah, Mawaddah Warahmah yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Manuskrip Islam, Profesor Madya Dr Adel M. Abdulaziz Algeriani.

    Majlis kemudian disemarakkan dengan pertandingan syarahan yang disertai oleh tujuh pelajar dari fakulti yang berlainan.

    Johan pertandingan jatuh kepada pelajar tahun 2 dari Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Awang Muhammad Wafiq bin Kifli, manakala naib johan ialah Dayang Siti Nur Izzah Aqilah binti Baharin, pelajar tahun 2 daripada Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam dan di tempat ketiga ialah Dayang Saidatul Ameera binti Abdul Rahman, pelajar tahun 2 daripada Fakulti Teknologi Islam.

    Tujuan majlis itu diadakan adalah bagi menyemarakkan sambutan Maulud Nabi Muhammad SAW di samping memupuk semangat perpaduan dan rasa cinta dalam kalangan warga UNISSA terhadap Rasulullah SAW.

    Penyampaian cenderahati kepada para juri dan hadiah serta sijil kepada para peserta pertandingan disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

    Penyampaian tazkirah khas oleh Profesor Madya Dr Adel M. Abdulaziz Algeriani. – GAMBAR SERAHAN UNISSA
    Tetamu kehormat menyampaikan hadiah kepada Awang Muhammad Wafiq selaku johan pertandingan. – GAMBAR SERAHAN UNISSA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda