Monday, May 12, 2025
27.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk semangat baca Al-Quran

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mei – Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat juga tidak ketinggalan mengadakan majlis khatam Al-Quran dalam melipat gandakan amal dan pahala serta sentiasa mengingati Allah SWT terutamanya pada bulan yang suci ini, di samping memupuk lagi semangat membaca Al-Quran pada hari-hari terakhir bulan Ramadan.

    Diadakan di surau jabatan tersebut, majlis berkenaan juga diselajurkan dengan sembahyang fardu Maghrib berjemaah dan berbuka puasa kemudian dilaratkan sehingga sembahyang fardu Isyak serta sembahyang Tarawih dan Witir berjemaah.

    Majlis yang anjuran Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat itu disertai oleh pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan tersebut.

    Hadir ke majlis itu ialah Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-Menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin bin Haji Asar serta ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara.

    Majlis tahunan berkenaan telah didahului dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Ahmad Syafiq bin Osman dan diikuti dengan bacaan surah-surah lazim, Takhtim, Doa Khatam Al-Quran dan Dikir Asrakal.

    Bersempena bulan Ramadan yang mulia ini, seperti lazimnya Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat juga menghulurkan sumbangan Hari Raya kepada dua orang kakitangan jabatan tersebut.

    Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Pekerma Jaya Dato Paduka Haji Judin ketika hadir pada majlis tersebut. – Gambar oleh Rokiah Mahmud

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda