Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 FEB – Dalam meningkatkan semangat Muslimah agar lebih bersemangat untuk mempelajari, membaca dan memahami isi Al-Quran, Muslimah Masjid Kampung Beribi telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran berserta terjemahannya di masjid berkenaan, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat, Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin yang juga mengetuai bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah.
Antara lain tujuan majlis berkenaan adalah untuk memupuk semangat lebih mendampingi Al-Quran bukan sahaja dengan membaca tetapi dengan menghayati terjemahan dan sebagai penghargaan terhadap muslimah yang terlibat sepanjang Kelas Al-Quran.
Di majlis berkenaan, bacaan Kalamun Qadim dan Surah Al-Ghashiyah beramai-ramai diketuai oleh Hajah Nora’alia binti Haji Abdul Rahim, manakala terjemahan dibacakan oleh Hajah Malai Raafiah binti Haji Sheikh Nikman.
Bacaan Tahtim pula diketuai oleh Hajah Norsalam binti Haji Tujoh dan Doa Khatam Al Quran dibacakan oleh Hajah Saibah binti Salam.
Majlis tersebut diserikan dengan Dikir Marhaban yang diketuai oleh Hajah Sariah binti Ahim, manakala Doa Selamat dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Dayang Amal Zakiah binti Haji Mohd Yusof.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P3-3-Pupuk_15022025.jpg)