Gambar ANN/China Daily
Sebagai pewaris pelbagai gaya tai chi, Li Jianfang menganggapnya sebagai kewajipan untuk meneruskan tradisi, teknik dan budaya mendalam seni mempertahankan diri kepada generasi akan datang.
Sama ada di bawah cahaya bulan, di tempat tinggal yang sederhana, di dataran tinggi atau di tepi pantai, Li Jianfang dengan gigih mengamalkan tai chi selama beberapa dekad dengan komitmen yang tidak berbelah bahagi.
Dia sering berfikir, “Mungkin saya tidak ingat hari-hari tertentu apabila saya berlatih tai chi selama bertahun-tahun ini, tetapi saya pasti ingat hari-hari di mana saya tidak melakukannya.”
Li, 66, seorang pegawai bersara, merupakan pewaris generasi ketiga tai chi gaya Wang Qihe, warisan budaya tidak ketara, China. Dia telah berdedikasi untuk berlatih dan menyebarkan seni mempertahankan diri selama lebih lima dekad. Selain mengajar pelajarnya, dia telah dijemput ke pelbagai institusi dan universiti untuk memberi ceramah dan pembentangan mengenai tai chi.
“Adalah penting untuk mengekalkan dan menurunkan teknik tradisional yang betul dan mengenalpasti serta membimbing para penggemar muda tai chi untuk memupuk semangat mereka,” kata Li.
Wang Qihe (1889-1936), dari Xingtai, wilayah Hebei, mendedikasikan dirinya untuk berlatih pelbagai gaya seni mempertahankan diri, memperoleh banyak kemahiran dan pengetahuan, kemudian membentuk gaya tai chinya sendiri.
Tai chi gaya Wang Qihe merangkumi dua rutin ringkas dengan 13 dan 24 bentuk masing-masing, dua rutin tradisional dengan 84 dan 108 bentuk dan rutin dinamik dengan 38 bentuk yang pantas serta rutin khusus untuk pedang, lembing dan keris.
Selama tiga generasi pewaris tai chi, gaya Wang Qihe, penyampaian pengetahuan dan teknik telah dilakukan secara bersemuka.
“Pendekatan yang disengajakan ini mungkin menyebabkan penyebaran yang lebih perlahan, tetapi secara efektid ia telah mengekalkan keaslian kaedah tradisional dalam bentuk yang paling murni,” kata Li.
Selepas berdekad-dekad berlatih, Li berpendapat tai chi gaya Wang Qihe ditandai dengan garis keturunan yang tulen, teori tinju yang sistematik, julat pergerakan sederhana dan teknik pugilistik yang indah.
Li menerangkan bahawa dalam gaya tinju tai chi ini, bahagian atas tubuh dipkembangkan dengan lemah lembut, mempamerkan keseimbangan harmoni antara kelonggaran dan ketenangan, tekniknya adalah tepat dan bahagian bawah tubuh memberikan kekuatan yang hebat, mengekalkan kestabilan sambil tetap tangkas.
“Ia merangkumi pelbagai fungsi seperti kecergasan, pertahanan diri dan pengembangan peribadi,” katanya.
“Dari segi teknik, ia menekankan banyak aspek yang halus, termasuk postur badan, gerakan kaki, kedudukan tangan, penglihatan yang tajam, strategi taktikal dan sudah tentu memupuk rohani. Setiap aspek terjalin secara rumit dengan prinsip yang tepat dan terperinci dalam seni mempertahankan diri,” tambah Li.
Li dilahirkan di daerah Ren (kini daerah Renze), di Xingtai, tempat asal tai chi gaya Wang Qihe. Dia masih ingat bahawa di kampung halamannya ramai orang berlatih seni mempertahankan diri dan mereka menunjukkan kemahiran di jalanan semasa perayaan.
Liu Renhai, yang merupakan murid kanan Wang, merupakan seorang tokoh popular pada masa itu. Pada usia 13 tahun, Li mula belajar tai chi daripada Liu.
“Pada masa itu, saya hanya terpesona dengan kemahiran yang ditunjukkan oleh pengamal tai chi. Lebih-lebih lagi, saya berpeluang untuk mendapatkan bimbingan peribadi daripada Liu Renhai sendiri. Jadi, saya berdedikasi sepenuh hati untuk mempelajari seni itu, dan sangat terpikat dengannya. Sejak itu, saya tidak pernah berhenti berlatih,” kata Li.
Selama lebih sedekad, Li belajar tai chi daripada Liu, yang mengajar seni mempertahankan diri dengan kesabaran yang tidak berbelah-bahagi dan perhatian terhadap perincian.
Setiap kali Li pergi berlatih, Liu tidak menunjukkan tanda-tanda kegelisahan dan isteri Liu akan menyediakan makanan untuk mereka.
Li teringat bahawa hanya beberapa hari sebelum dia meninggal dunia, pada usia 79 tahun, Liu masih mampu mendorong Li beberapa meter dengan mudah ketika mengajar tai chi kepadanya.
“Pengalaman ini, hari demi hari, secara halus dan beransur-ansur membentuk diri saya. Belajar daripadanya bukan hanya tentang seni mempertahankan diri, ia adalah tentang belajar untuk menjadi orang yang lebih baik,” kata Li. – ANN/China Daily