KUALA LUMPUR, 9 Julai – Penutupan acara Gawai Dayak 2017 melambangkan dan memupuk semangat muhibah di kalangan komuniti Sarawak dan masyarakat lain di Malaysia, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.
“Kita tidak mahu menggunakan perkataan penutup kerana acara ini sebenarnya adalah bukti mengenai muhibah yang kita pupuk dengan setiap komuniti Sarawak dan kaum lain di negara ini,” kata beliau.
Riot berkata demikian semasa Majlis Penutupan Gawai Dayak 2017 yang berlangsung di Rumah Asap Borneo Kuala Lumpur, di sini malam tadi apabila beliau memuji masyarakat Sarawak kerana menolak amalan polarisasi.
“Malam ini, kita bukan sahaja menyaksikan kaum Dayak, Iban dan Orang Ulu tetapi juga kaum India, Cina dan Melayu menyertai sambutan,” kata Riot yang juga Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Sementara itu pula, Presiden Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA), Joseph Janting berkata acara berkenaan adalah penting kerana ia dapat menyatukan penduduk dari komuniti Dayak sebagai satu cara untuk mengukuhkan hubungan antara satu sama lain dan memupuk budaya yang berbeza.

Ketika ditemui Bernama, seorang penduduk suku kaum Dayak, Vivient James berkata acara ini adalah penting bagi komunitinya kerana inilah masanya untuk berkumpul dan memupuk persahabatan dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik di Sarawak.
“Kita boleh bertemu antara satu sama lain, kerana setiap orang berasal dari bahagian-bahagian yang berbeza di Sarawak, jadi ini adalah salah satu cara terbaik untuk bercampur-gaul,” kata pemilik restoran berusia 35 tahun itu yang menjalankan perniagaan makanan di Seri Kembangan.
Sementara itu, pelajar kaum Iban, Serena Voon, 20 berkata acara itu juga penting bagi meraikan festival menuai yang telah membantu menyumbang kepada ekonomi negara.
Pelajar Universiti Teknologi MARA, Jesica Sendai, berkata perhimpunan malam ini adalah satu cara untuk membolehkan komuniti Sarawak yang tidak dapat pulang meraikan festival Gawai di sini bersama satu sama lain.
Acara itu dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang dan dianjurkan oleh TRADA dan Yayasan Serian Malaysia. – Bernama