Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Feb – Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, buat julung-julung kalinya, hari ini telah mengadakan forum bertajuk ‘Peranan Muslimah Mendokong Wawasan Negara’ bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 bagi Kelas Bimbingan Muslimah, Daerah Brunei dan Muara.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Mutawakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop itu ialah isteri Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili.
Ketua Bahagian Hal Ehwal Muslimah, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Dayang Noraini Yanti binti Haji Hussin dalam ucapannya menyatakan, forum berkenaan bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan Muslimah di samping memberi kesedaran dan kefahaman akan peranan Muslimah dalam mendokong wawasan negara untuk melahirkan Muslimah yang berwawasan. Di samping itu, ia juga adalah sebagai satu syiar untuk memakmurkan masjid.
Forum pagi tadi itu telah menampilkan tiga orang ahli panel yang terdiri daripada Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Haji Abdul Ghafor; Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Hajah Aisyah Radhiah binti Haji Gani dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Masyarakat Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dayang Irnawati binti Haji Mahir serta dipengerusikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid RPN Kampung Lambak Kanan, Haji Abdul Malik bin Haji Jumat.
Hajah Aisyah Radhiah semasa forum itu telah menyentuh mengenai peranan-peranan Muslimah dalam sebuah keluarga ke arah melahirkan generasi yang berakhlak dan juga beriman.
Menurutnya, peranan utama seseorang Muslimah itu adalah memberikan pendidikan kepada anak-anaknya iaitu pendidikan solat dan cara-cara mengerjakannya seawal mereka berusia tujuh tahun lagi kerana pada usia tersebut, kanak-kanak sudah dapat mengetahui mana yang baik dan mana yang tidak.
Beliau menekankan kepentingan mengerjakan solat pada usia awal lagi untuk mendirikan tiang agama dan mempunyai iman yang kuat dan dengan ini dapatlah mendokong wawasan negara.
Peranan kedua adalah memberikan pendidikan akhlak dan pendidikan Al-Quran kepada anak-anak kerana ia merupakan Sunnah bagi agama Islam.
Beliau kemudiannya juga menekankan peranan ketiga iaitu mendidik anak-anak dan keluarga dengan penuh kasih sayang dan memberikan perhatian dengan sepenuhnya dan secukupnya agar mereka tidak merasa tidak disayangi atau tidak diberikan perhatian.
Manakala itu, Haji Ali Yusri pula menyentuh mengenai peranan-peranan penting yang dibawa oleh para wanita iaitu sebagai seorang ibu, ibu mertua, isteri, anak, menantu dan juga cucu.
Acara itu kemudiannya diserikan lagi dengan deklamasi puisi oleh Muslimah balai ibadat Mukim Saba, Dayang Nordiana binti Salleh dan diakhiri dengan majlis penyampaian cenderahati kepada pengerusi dan ahli panel.