Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk sikap dahagakan ilmu, proaktif

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JULAI – Para penuntut Universiti Teknologi Brunei (UTB) digalakkan untuk menetapkan matlamat akademik dan memperelokkan peribadi serta berusaha untuk mencapai yang terbaik bagi diri mereka.

    Mereka diseru untuk meningkatkan kefahaman, menjadi individu terpelajar, seseorang yang dahagakan ilmu pengetahuan, proaktif dalam kegiatan akademik serta luar kurikulum.

    Seruan itu disuarakan oleh Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya pada Minggu Orientasi UTB 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Serba guna, Fasa 3, UTB, hari ini.

    Beliau mengingatkan bahawa dalam perjalanan akademik dan pengajian, mereka bukannya mengharungi secara bersendirian tetapi pihak universiti sentiasa bersedia untuk memberikan sokongan kepada mereka.

    Beliau juga menyatakan pihak universiti akan terus membantu para pelajar untuk mencapai keseimbangan kerja-kehidupan dalam universiti melalui pelbagai kelab dan persatuan yang boleh mereka sertai di mana melalui aktiviti luar kurikulum berkenaan mereka berpeluang untuk membangunkan bidang yang digemari.

    Antara penuntut yang melafazkan ikrar semasa Minggu Orientasi UTB 2023/2024, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
    Datin Paduka Profesor Dr Hajah Zohrah menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa Minggu Orientasi UTB 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Serbaguna, Fasa 3, UTB, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.

    Bagi mereka yang ingin meningkatkan kemahiran kepimpinan, beliau menyatakan mereka boleh menjadi salah seorang ahli Majlis Perwakilan Pelajar di mana mereka boleh mengetuai serta menerajui beberapa projek dan aktiviti.

    “Di UTB, kami percaya adalah amat penting untuk mendedahkan penuntut kepada masyarakat di peringkat awal pengajian mereka.”

    Dalam hubungan itu, ulas beliau, sebanyak 12 aktiviti pendekatan komuniti telah dimasukkan kepada program orientasi mereka termasuk kerja-kerja membersihkan masjid dan pantai, menghabiskan masa dengan kanak-kanak di Pusat Ehsan, YASKA, SMARTER dan ABLE, mendermakan barangan kepada keluarga-keluarga kurang bernasib baik serta aktiviti dengan warga emas.

    Beliau mengingatkan majikan sering mencari pelajar-pelajar dan graduan yang mempunyai pelbagai kemahiran, kualiti peribadi dan pengalaman di mana Experience Plus merupakan pendedahan pertama mereka kepada bakal-bakal majikan bagi mereka untuk menunjukkan kebolehan masing-masing.

    Sering kali pelajar yang mendapat pekerjaan setelah menamatkan pengajian adalah mereka yang mempunyai majikan yang sama semasa Experience Plus.

    Ujarnya lagi, UTB amat mengambil berat mengenai kesejahteraan mereka termasuk kesihatan mental penuntut dan UTB menyediakan pelbagai perkhidmatan sokongan bagi para penuntut supaya mereka dapat berkembang secara profesional, akademik dan peribadi.

    Beliau menyeru para penuntut untuk jangan sesekali tidak menghiraukan masalah akademik dan peribadi mereka kerana masalah itu akan menjadi lebih buruk jika ia tidak ditangani tepat pada masanya.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda