Sunday, November 17, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pupuk tabiat menabung yang positif

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 MEI – Tanggal 28 Mei ini, negara akan menandakan hari istimewa iaitu Sambutan Hari Menabung Kebangsaan ke-9.

    Budaya menabung adalah selaras dengan budaya masyarakat Brunei seperti yang dicerminkan dalam peribahasa Melayu, sediakan payung sebelum hujan, yang mengajar kita untuk sentiasa bersedia dalam apa jua situasi kecemasan atau kejadian yang tidak dijangka.

    Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dalam kenyataannya hari ini yang bertajuk ‘Memupuk Tabiat Menabung yang Positif’ menasihatkan orang ramai untuk memulakan tabiat menabung dari peringkat awal agar dapat memenuhi keperluan semasa dan masa depan, mencapai matlamat kewangan dan akhirnya memperolehi kebebasan kewangan.

    Hari Menabung Kebangsaan yang dilancarkan sejak 2015 bermatlamat untuk mempromosikan budaya menabung dan pengurusan wang yang berhemah, meningkatkan tahap celik kewangan di Negara Brunei Darussalam dan meluaskan kesedaran terhadap produk dan perkhidmatan kewangan yang terdapat di negara ini.

    Oleh itu, menanamkan amalan menabung dalam setiap individu adalah penting, terutamanya dari usia muda lagi.

    Amalan menabung mengajar kita untuk sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan yang tidak dijangka.

    Oleh itu, BDCB turut mengongsikan beberapa tip mengenai cara-cara untuk memulakan simpanan.

    Bina dana kecemasan

    Dana kecemasan boleh membantu melindungi diri daripada kesulitan kewangan, seperti kemalangan kereta, kecemasan kesihatan, atau kehilangan pendapatan.

    Jumlah dana kecemasan yang disarankan adalah sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan daripada perbelanjaan bulanan awda.

    Dana ini tidak sepatutnya disamakan dengan simpanan biasa kerana ia hanya boleh digunakan bagi kecemasan sahaja.

    Amalkan menabung secara aktif

    Pastikan awda menabung secara aktif. Ini bermaksud mengasingkan sebahagian pendapatan terlebih dahulu sebelum berbelanja.

    Menabung dengan mempunyai matlamat tertentu akan memberikan kepuasan kerana dapat mencapai apa yang dituju.

    Oleh itu, tetapkanlah matlamat kewangan bagi jangka masa pendek, sederhana, dan panjang apabila awda menabung.

    Memanfaatkan teknologi

    Tetapkan arahan melalui bank supaya sebahagian gaji awda dipindahkan secara automatik ke akaun simpanan secara bulanan atau secara berkala.

    Dengan cara ini, awda tidak perlu setiap kali untuk memindahkan wang akaun simpanan secara manual, ia sudah dilakukan untuk awda. Berbincanglah dengan bank atau institusi kewangan awda tentang cara melakukannya.

    Membuat perbandingan

    Gunakanlah hak pengguna awda dengan bertanya mengenai produk kewangan agar awda memahami kebaikan dan risikonya sebelum melanggan.

    Bandingkan produk-produk simpanan yang ditawarkan oleh bank-bank atau syarikat-syarikat insurans atau takaful, untuk memastikan awda memilih produk yang paling sesuai dengan matlamat kewangan awda.

    Menggalakkan dan mengamalkan tabiat kewangan positif dari awal

    Jadikanlah aktiviti menabung wang itu menyeronokkan, terutamanya untuk anak-anak dan orang tersayang agar tabiat kewangan yang positif itu akan berterusan dalam jangka masa yang panjang.

    Contohnya, awda boleh memberi tanda pada tabung duit syiling dengan matlamat simpanan yang berbeza; menabung setiap nota $5 atau membuat cabaran menabung yang menarik.

    Tabiat menabung akan lebih berkesan apabila dimulakan dari usia muda lagi dengan galakan dan amalan yang berpatutan.

    Berwaspada dengan penipuan kewangan

    Berhati-hatilah terhadap taktik penipuan kewangan. Dengan peningkatan pempengaruh kewangan yang tidak berkelayakan di media sosial, sesetengah daripada mereka mungkin memberikan nasihat yang tidak tepat.

    Kemungkinan juga ada antara nasihat tersebut tidak bersesuaian untuk kesemua individu, ataupun menggesa awda bagi melanggan produk dan perkhidmatan kewangan yang tidak berlesen, yang boleh jadi satu penipuan kewangan. Sentiasalah berwaspada dan janganlah mengikut nasihat-nasihat kewangan tersebut tanpa usul periksa.

    Selain itu, awda boleh memperoleh nasihat kewangan yang disesuaikan khusus buat awda daripada perancang kewangan yang berlesen dan berkelayakan dari Persatuan Perancang Kewangan Brunei Darussalam (FPAB) atau dari institusi-institusi kewangan yang dilesenkan oleh BDCB.

    Amalan selain menabung

    Pada masa ini, kita menghadapi persekitaran harga barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat di seluruh dunia.

    Oleh itu, walaupun menabung adalah penting, aspek-aspek lain dalam perancangan kewangan juga perlu dipertimbangkan, terutamanya perlindungan harta melalui produk takaful atau insurans, produk-produk pelaburan melalui institusi-institusi kewangan yang berlesen di bawah BDCB dan juga perancangan persaraan.

    Marilah kita memupuk tabiat kewangan yang positif dan memulakan amalan menabung kita.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda